Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu “punch card” hari pertama sebagai Menteri Besar Perak ke-13

0

Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu memulakan tugas sebagai Menteri Besar Perak Darul Ridzuan yang ke-13 hari ini dan beliau tiba di Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan pada jam 8.30 pagi tadi.

Dato’ Seri Ahmad Faizal memulakan tugasan beliau dengan mendengar taklimat daripada pegawai Jabatan Kesihatan Negeri di pejabat Menteri Besar, sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MKN).

Mesyuarat berkenaan membincangkan tindakan lanjut pentadbiran kerajaan negeri dan jabatan serta agensi berkaitan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 hingga 31 Mac depan di seluruh negara seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu perutusan khas semalam.

Ketibaan beliau disambut oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) Nor Sham Rahman dan Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Zulazlan Abu Hassan.

Turut serta menyambut beliau adalah para pegawai jabatan dan agensi negeri dan sambutan tersebut berlangsung dalam skala yang kecil dan tanpa kehadiran pihak media sebagai langkah mewujudkan jarak sosial, bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak Ke-13 di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada 13 Mac lalu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang menerima watikah pelantikan daripada Sultan Nazrin dan kemudian mengangkat sumpah jawatan di hadapan baginda di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar.Sultan Nazrin berkenan melantik Ahmad Faizal sebagai menteri besar selepas beliau mendapat kepercayaan sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan dibuat berpandukan Perkara XVI Fasal 2 (a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.

Terdahulu, Dato’ Seri Ahmad Faizal meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak Ke-12 selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu yang dipimpinnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tumbang.

Sehari sebelum itu, Ahmad Faizal mengumumkan Perikatan Nasional (PN) Perak terdiri daripada Umno, Pas dan Bersatu mendapat sokongan 32 daripada 59 ADUN bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Pada hari sama, empat Adun bertindak meninggalkan parti masing-masing dengan seorang Adun PKR menyertai Bersatu, manakala dua Adun DAP dan seorang Adun Amanah meninggalkan parti masing-masing dan mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil rakyat Bebas.

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

 

Leave a Reply