Dari dunia politik ke dunia pertanian

0

Menerusi segmen Inspirasi The Malaya Post, siapa sangka bekas pegawai khas kepada bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu yang kini ADUN Bukit Besi YB Rosli Daud nekad untuk mengusahakan dua bidang tanah di Taman Sang Sura Kampung Bukit Depu dan Kampung Gong Tok Nasek, Terengganu dengan menanam cili secara fertigasi.

Menurut Aluwi Ismail 35 tahun, berbekalkan modal masing-masing RM12,000 dan RM21,000 untuk peralatan tanaman, benih dan penyediaan medium tanah, Aluwi memulakan projek tananam cili Mac lalu, dengan menanam 960 pokok cili di kawasan tanah seluas 1200 meter persegi atau suku ekar.

“Selepas habis kontrak sebagai Pegawai Khas, saya menganggur. Jadi saya cuba ikut kursus dalam bidang fertigasi cili, dari situ saya mula menanam di mana niat asal saya untuk mengusahakan ladang bersama bapa mertua saya” ujarnya.

Aluwi berkata beliau menggunakan teknik fertigasi bagi tanaman cilinya kerana menjimatkan masa dan mengehadkan penggunaan tanah selain menjimatkan penggunaan air antara 30 dan 50% berbanding teknik tanaman tradisional dengan menanam terus di atas tanah.

Ujarnya, hasil tanaman juga selamat untuk dimakan kerana menggunakan baja dan vitamin yang dihasilkan sendiri secara organik tanpa penggunaan racun kimia.

Tambahnya lagi, sistem kawalan air perlu cekap untuk memastikan pokok cili mendapat bekalan air dan nutrien secukupnya, sumber air dan nutrien yang mencukupi menjamin kualiti buah cili dihasilkan, berkilat dengan saiz besar dan panjang serta berat.

“Pokok-pokok ini ada diletakkan di atas tanah yang dilapik plastik khas dan sebahagiannya digantung dalam beg tanaman dan kini saya sedang menuai hasilnya untuk dijual secara borong atau pekedai,” katanya.

Beliau menyasarkan setiap pokok yang ditanam mampu menghasilkan 2 kilogram cili yang mampu dijual antara RM10 hingga RM12.50 sekilogram.

Menurutnya, hasil ke dua yang sedang dituai dengan keseluruhan hasil tuaian dianggarkan berjumlah 4 tan metrik yang menjana pendapatan sebanyak RM30,000 dan ia akan dijual di Pasar Borong Gong Pauh dan kedai-kedai di sekitar Kuala Terengganu.

Mengulas perancangan masa hadapan, Aluwi yang kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Master di Universiti Utara Malaysia berkata, beliau akan meluaskan tapak tanamannya dengan membuka tapak baru di sebelah tapak sedia ada. Keluasan yang hampir sama membolehkannya menanam 2,000 pokok, sekali gus melipatgandakan hasil tuaian.

Dalam pada itu, Aluwi berterima kasih kepada pengasas Abe Mat Bukhari D’Tani iaitu Mohd Bukhari Mohd Noor yang banyak memberi tunjuk ajar dan bantuan khusus dalam bidang fertigasi cili kepadanya.

Ketika ditanya adakah beliau akan memberi fokus 100% kepada dunia pertanian, ini jawab beliau.

“Minat saya masih tebal dalam dunia politik dan Insyallah jika ada rezeki saya akan kembali ke dunia politik. Pekerjaan saya sekarang sangat beza dengan dunia dahulu, jika dahulu saya bekerja dengan SOP selesa dalam pejabat. Kini di ladang, di bawah cuaca panas terik tapi saya puas kerana hasil tuaian adalah hasil titik peluh saya” demikian katanya mengakhiri temubual Eksklusif bersama Inspirasi The Malaya Post.

Kepada yang berminat untuk membeli cili mahupun membuka ladang cili boleh hubungi Aluwi Ismail di talian tertera 0139522694

Leave a Reply