DAP wajar kenakan tindakan tegas terhadap Ronnie Liu – Setiausaha Agong PPBM

0

KUALA LUMPUR 23 Oktober 2019 : Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Bersatu, mendesak tindakan tegas dikenakan terhadap Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat, CEC DAP, YB Ronnie Liu, sekiranya DAP ikhlas dengan Pakatan Harapan.

Demikian kata Setiausaha Agungnya, Datuk Marzuki Yahya, ketika dihubungi The Malaya Post sebentar tadi.

Katanya, tindakan YB Ronnie Liu itu seakan menunjukkan tiada keserasian dalam DAP.

“Saya melihat, tindakan Ronnie Liu itu seakan membuktikan tiada keserasian antara beliau dan DAP. Kita mahu DAP ambil tindakan tegas terhadap Ronnie Liu, tindakan tegas bukti kejujuran DAP dengan Bersatu”, katanya.

Kepada soalan, bagaimana pandangan Bersatu apabila YB Ronnie Liu dengan jelas dan yakin mengatakan DAP kini mempunyai sokongan 113 Ahli Parlimen dan mampu membentuk kerajaan tanpa Bersatu.

Berikut jawab beliau.

“Itu kata dia secara peribadi dan dalam Pakatan Harapan kita mempunyai tanggungjawab kepada rakyat. Kita mahu DAP ambil.tindakan tegas terhadap Ronnie”, katanya kepada The Malaya Post.

Terdahulu di lobi Parlimen, Datuk Marzuki berkata DAP sebagai salah satu parti gabungan Pakatan Harapan, PH perlu segera menyatakan pendirian mereka berhubung tindakan merendah-rendahkan Bersatu yang dijangka akan membawa kesan buruk kepada gabungan itu.

“Saya nak sarankan kepada pimpinan DAP supaya dapat mengeluarkan kenyataan balas tentang pendirian ahlinya kerana ini bukan membabitkan pendirian pimpinan. Ini lebih kepada pendapat peribadi.

“Saya nak ingatkan kepada Ronnie Liu sebagai sebuah parti yang berada dalam kerajaan sepatutnya beliau bertanya kepada diri sendiri mengenai kedudukan beliau tanpa Bersatu,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Datuk Marzuki ditanya mengenai pendapat Bersatu mengenai kata-kata YB Ronnie dalam tulisannya yang bertajuk Mahathir: The paper tiger mempertikaikan kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan parti yang diterajuinya iaitu Bersatu.

Beliau berkata, DAP, PKR, Amanah, Warisan dan UPKO yang secara keseluruhannya mempunyai 113 kerusi parlimen cukup untuk membentuk kerajaan tanpa Bersatu.

Dalam pada itu, Marzuki berkata tindakan YB Ronnie itu dilihat tidak bijak dan tidak perlu sama sekali.

“Saya rasa ini adalah kenyataan kurang bijak dan saya harap pimpinan DAP dapat tangani dengan baik,” katanya lagi.

 

Leave a Reply