Covid-19 : “Umpama mula menimbulkan rasa putus asa dan tiada kepedulian lagi” – Sultan Johor

0

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar  bertitah rakyat tidak boleh mengabaikan SOP walaupun telah menerima suntikan vaksin terhadap virus terbabit.

Ini kerana sesetengah rakyat memandang ringan SOP dan bersikap seolah-olah wabak itu sudah berakhir.

Titah baginda sikap berbahaya ini hanya akan menambah lagi beban kemudahan penjagaan kesihatan kita.

“Walaupun sistem penjagaan kesihatan kita diurus tadbir dengan baik, namun semuanya mempunyai batas. Jika beban yang terpaksa ditanggung menjadi keterlaluan, pasti akan membawa akibat yang tidak dapat dibayangkan”, titah baginda dalam satu kenyataan media dimuat naik dalam laman Facebook rasmi miliknya, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.

Titah Sultan Johor, setiap kali apabila kita merasakan bahawa keadaan mula pulih dari penularan COVID-19, namun sebaliknya jumlah kes yang dicatatkan kembali meningkat lagi.

Situasi berkenaan umpama mula menimbulkan rasa putus asa dan tiada kepedulian lagi.

“Kita sekarang berada pada tahap yang sangat kritikal. Jumlah kes tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dan beberapa negeri, termasuk Johor, kini menjadi negeri berisiko tinggi”, titah Sultan Ibrahim.

“Saya harap agensi penguatkuasaan akan bertindak lebih tegas dan adil terhadap mereka yang melanggar SOP ditetapkan. Kita tidak boleh membiarkan keadaan menjadi tidak terkawal, seperti yang sedang berlaku di India sekarang.

“Saya juga berharap kerajaan negeri akan mengambil keputusan yang bijaksana dan bertindak demi kepentingan rakyat”, titah baginda

Sultan Ibrahim menggesa rakyat Johor agar segera mendaftar untuk menerima suntikan vaksin. Percayalah kepada pakar kesihatan yang sahih, bukan khabar angin.

“Sebagai Sultan Johor, saya amat mengambil berat akan kebajikan dan keselamatan Bangsa Johor. Saya tidak mahu lagi mendengar kisah sedih keluarga yang kehilangan ahli mereka yang tersayang akibat wabak ini.

“Sekiranya perintah kawalan pergerakan yang ketat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa, biarlah ia dilaksanakan buat kali terakhir tetapi berkesan, dengan memastikan orang ramai juga memainkan peranan masing-masing bagi menjayakan peraturan yang dikuatkuasakan.

“Pengorbanan mesti dibuat untuk kebaikan semua. Jangan kita menyesal kemudian hari, tiada gunanya”, titah baginda. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply