COVID-19 : Tiga hari di ICU, Tok Pa kini telah dibenarkan pulang

0

Menteri Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed dibenarkan keluar hospital hari ini selepas 12 hari menerima rawatan COVID-19.

Menerusi perkongsian di laman Facebook, beliau berkongsi saat paling cemas apabila berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tiga hari kerana mempunyai masalah pernafasan dan kekurangan tenaga.

“Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT setelah 12 hari bertarung di HRPZ II dengan pemantauan rapi oleh doktor, jururawat dan barisan hadapan, pada jam 4.30 petang ini saya dibenarkan keluar hospital.

“Dalam tempoh 12 hari di hospital, sudah pasti yang paling mencemaskan ialah semasa 3 hari di ICU, apabila ada sedikit masalah pernafasan dan kekurangan tenaga,” kongsi beliau.

Menurutnya, dengan pemantauan rapi doktor dan jururawat akhirnya beliau kembali pulih dan kini perlu lebih banyak berehat serta tidak dibenarkan bertemu orang ramai.

“Namun dengan pemantauan rapi doktor dan jururawat, serta keyakinan penuh kepada ketentuan Allah SWT, Alhamdulillah saya beransur pulih.

“Sekarang saya perlu lebih banyak berehat, kurangkan kerja dan tidak boleh bertemu ramai orang,” tulis beliau.

Sehubungan itu, beliau menitipkan nasihat agar masyarakat mematuhi SOP yang ditetapkan selagi wabak pandemik ini belum berjaya dibanteras sepenuhnya.

“Selain itu, pelitup muka, pembersih tangan, penjarakan sosial dan pemakaian face shield perlu menjadi amalan kita semua sepanjang masa sehingga pandemik ini benar-benar pulih,” kata beliau.

Mengambil iktibar dari apa yang dilalui, beliau berharap wabak yang sedang melanda negara ini memberi kesedaran dan keinsafan kepada semua.

Ahli Parlimen Jeli yang lebih mesra disapa Tok Pa juga memohon agar semua pihak berganding bahu dan bekerjasama dalam usaha memutuskan rantaian wabak berjangkit ini.

“Pengajaran: pandemik ini ketentuan Allah SWT supaya manusia insaf dan sedar betapa kerdilnya kita semua.

“Sepanjang pandemik COVID-19, kita perlu menjaga maslahah umum mengatasi kepentingan peribadi.

“Ancaman ini serius, perlu diambil berat oleh rakyat. Ketakutan kepada COVID-19 biar sebati dengan diri kita kerana kita masih belum memenangi peperangan ini.

“Berdiri teguh di belakang Kerajaan, Kementerian Kesihatan dan pihak penguatkuasa bagi mempertahankan nyawa serta kehidupan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tok Pa menzahirkan ucapan terima kasih terhadap para petugas kesihatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II ( HRPZ II) dan kepada semua pihak yang mendoakan kesembuhannya.

“Terima kasih tidak terhingga kepada semua staf Kementerian Kesihatan khususnya di HRPZ II, ahli keluarga, sahabat handai dari seluruh pelusuk tanah air yang beri kata kata-kata semangat, ucapan dan doa.

Semoga Allah SWT menyelamatkan negara kami, pemimpin-pemimpin kami dan semua rakyat daripada COVID-19,” tambah beliau.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply