COVID-19 : Proses Repatriasi warganegara Malaysia dari Iran dan Itali

0

TEKS UCAPAN YB TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI

Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Iran dan Itali sedang membuat persediaan sewajarnya dalam usaha membawa pulang warganegara Malaysia dari kedua-dua buah negara tersebut. Ini termasuk sebilangan pegawai Kedutaan dan tanggungan mereka.

Proses repatriasi ini adalah susulan keputusan Kerajaan Malaysia yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin pada hari Jumaat, 13 Mac 2020.

Keputusan repatriasi ini adalah keputusan kolektif di antara agensi yang terlibat termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan lain-lain agensi yang berkaitan. Repatriasi ini adalah urusan membawa pulang yang ketiga selepas dua episod pertama melibatkan warganegara Malaysia dan tanggungan mereka dari Wuhan, China pada 3 Februari 2020 dan 25 Februari 2020.

Kementerian Luar Negeri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan lain-lain agensi yang berkaitan sedang bekerjasama untuk melaksanakan repatriasi ini.

Sehingga kini, seramai 48 orang warganegara Malaysia telah berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Iran. Manakala 323 orang warganegara Malaysia berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Itali.

Tidak semua warganegara Malaysia yang berdaftar dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Itali akan pulang ke Malaysia memandangkan ada di antara mereka yang telah bermastautin di sana serta tidak berhasrat untuk meninggalkan negara berkenaan. Kesemua warganegara Malaysia yang berdaftar dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Iran akan dibawa pulang.

Sehingga hari ini, repatriasi akan melibatkan seramai 48 orang dari Iran dan 79 orang dari Itali.

Kedua-dua Kedutaan telah menubuhkan Emergency Response Team (ERT) bagi menyelaraskan usaha membawa pulang warganegara Malaysia dan bekerjasama dengan pihak berkuasa kedua-dua buah negara berkenaan bagi tujuan tersebut.

Warganegara Malaysia di Iran dan Itali adalah dinasihatkan supaya berhubung terus dengan pihak Kedutaan bagi mendapatkan bantuan atau nasihat berhubung proses membawa mereka kembali ke Malaysia. Ini penting bagi
memastikan semua maklumat yang diperlukan dapat disalurkan dengan tepat kepada mereka yang terlibat dalam operasi ini.

Pelan repatriasi ini dijangka akan dilaksanakan dalam masa terdekat, tertakluk kepada kelulusan daripada pihak berkuasa Iran dan Itali.

Warganegara Malaysia dinasihatkan supaya mendaftarkan diri dengan pihak Kedutaan dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dalam memastikan proses repatriasi ini berjalan dengan lancar.

Selaras dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia, saya menyeru rakyat Malaysia untuk menangguhkan perjalanan ke negara-negara yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, termasuk ke benua Eropah.

Rakyat Malaysia juga dinasihatkan untuk tidak menyertai sebarang perhimpunan atau acara berskala besar. Mereka juga dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan diri bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.

Kementerian Luar Negeri akan terus memantau perkembangan pandemik COVID-19 di seluruh dunia. Perkembangan terkini berhubung perkara ini akan dimaklumkan daripada semasa ke semasa.

Leave a Reply