COVID-19 : Penambahan empat kematian hari ini dalam negara

0

Pengarah Kesihatan Malaysia, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah, berkongsi perkembangan terkini  empat kematian dalam negara pada hari ini.

“Sehingga kini, terdapat pertambahan empat (4) lagi kes kematian berkaitan COVID-19 yang telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan KKM.

“Pelaporan terbaru ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak lapan (8) sehingga kini,” ujar beliau.

Beliau berkata pertambahan kes kematian kelima (kes 1031) adalah melibatkan seorang wanita berusia 79 tahun warganegara Malaysia yang telah dimasukkan ke Borneo Medical Centre pada 16 Mac 2020 setelah mengalami demam dan batuk selama 5 hari.

“Pada hari kedua, beliau mengalami kesukaran bernafas namun keluarga tidak mempersetujui beliau diberi bantuan alat pernafasan. Beliau dibawa pulang oleh keluarga pada 17 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 18 Mac.

“Pesakit mempunyai kontak dengan dua orang lagi yang disahkan positif iaitu anak lelaki dan anak perempuan beliau,” katanya.

Menurutnya, kes kematian keenam (kes 1032) pula melibatkan anak perempuan kes kematian kelima.

“Kes ini melibatkan seorang wanita warganegara Malaysia berumur 40 tahun yang dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 18 Mac setelah mengalami demam dan batuk sejak 7 Mac.

“Pesakit disahkan positif COVID pada 19 Mac dan diberi bantuan pernafasan pada hari yang sama setelah didapati keadaan kesihatan beliau semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 tengah hari pada 21 Mac,” tambahnya.

Mengulas lanjut, kematian ketujuh (kes 290) melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 57 tahun, mempunyai sejarah perjalanan ke Vietnam dan kontak dengan kes positif COVID-19 dari kluster tabligh.

“Pesakit dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac setelah mengalami gejala demam, batuk dan sakit tekak selama seminggu.

“Keadaan kesihatan beliau kemudiannya merosot sehingga memerlukan bantuan pernafasan pada keesokan harinya dan disahkan meninggal dunia pada jam 3.22 petang pada 21 Mac,” ujarnya.

Kes kematian kelapan (kes 781) pula adalah melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 69 tahun daripada kluster tabligh.

Pesakit telah dimasukkan ke Hospital Tumpat pada 16 Mac setelah mengalami gejala demam sejak 12 Mac lalu.

“Pesakit telah dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pada 18 Mac setelah didapati keadaan kesihatan merosot dan kemudian memerlukan bantuan alat pernafasan pada keesokan harinya dan disahkan meninggal dunia pada 21 Mac pada jam 4.00 petang,” katanya.

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply