Covid-19 : Johor umum peruntukan RM150 juta bagi 32 insentif tangani krisis wabak

0

Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan RM150  juta bagi melaksanakan 32 insentif dalam pakej rangsangan ekonomi negeri.

Ia bagi menangani krisis penularan COVID-19 di negeri itu.

Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad enam insentif berjumlah RM12.5 juta telah diumumkan 20 Mac lalu.

Manakala 15 insentif berjumlah RM17.5 juta diumumkan hari ini

Baki 11 insentif lain berjumlah RM120 juta akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Antara insentif diumumkan hari ini adalah peruntukan khas berjumlah RM500,000 bagi pembelian peralatan tambahan dan keperluan utama lain yang akan diselaraskan Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

Ia bagi membantu petugas sektor kesihatan yang berusaha keras membantu menangani wabak berjangkit itu.

Beliau berkata kerajaan negeri juga bersetuju memperuntukkan RM200,000 bagi menyediakan keperluan makanan untuk polis dan tentera yang bertugas di barisan hadapan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selain itu, kerajaan negeri akan memberi insentif pengecualian bayaran sewa rumah dan kedai kepada penyewa Projek Perumahan Rakyat, PPR dan Rumah Sewa Kerajaan, RSK yang akan memberi manfaat kepada 2,989 penyewa bermula April hingga Jun ini. Pengecualian diberikan kepada penyewa yang telah menduduki PPR dan RSK setakat pengisian sebelum Februari 2020 dengan kos anggaran sebanyak RM4.8 juta.

“Kita juga bersetuju menangguhkan pembayaran balik Skim Sewa Milik selama enam bulan untuk kes yang layak kerana hilang mata pencarian bagi golongan B40 yang telah membeli Rumah Mampu Biaya Johor, Jenis A di bawah Skim Perumahan Prihatin Johor, SPPJ menerusi Belanjawan Johor 2020,” katanya dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Sidang Media Menteri Besar Johor

Sidang Media Menteri Besar Johor25 MAC 2020

Dikirim oleh Hasni Mohammad pada Selasa, 24 Maret 2020

Dato’ Seri Hasni berkata selain itu, kerajaan negeri akan menggandakan peruntukan RM600,000 kepada RM1.2 juta untuk memperluas pelaksanaan program ‘Bank 4 Makanan’ di seluruh negeri.

Ia antara lain bagi membekalkan makanan keperluan harian kepada golongan B40, khususnya dalam kalangan penerima bantuan e-kasih, asnaf zakat dan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKM.

Kerajaan negeri bersetuju menangguhkan bayaran balik pinjaman pelajaran institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negeri yang mendapat kemudahan pinjaman Yayasan Pelajaran Johor, YPJ.

Ia melibatkan seramai 2,000 pelajar dengan anggaran bayaran penangguhan membabitkan kos RM 2.4 juta mulai April hingga Jun tahun ini.

Selain itu, bantuan akan diberikan kepada pelajar yang tinggal di asrama Institusi Pengajian Tinggi Awam, IPTA di Johor sepanjang tempoh PKP membabitkan peruntukan sebanyak RM370,000.

Turut diberikan bantuan ialah pelajar yang tinggal di asrama madrasah yang berdaftar dengan MAIJ membabitkan peruntukan antara RM5,000 hingga RM10,000 membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM300,000.

Tambah beliau, kerajaan negeri turut meminta pihak berkuasa tempatan, PBT di seluruh Johor menyalurkan dana untuk pembelian penutup hidung dan mulut bagi rakyat Johor yang terpaksa bekerja dan bertugas dalam perkhidmatan perlu semasa PKP.

Semua PBT di seluruh negeri juga diarah untuk meningkatkan perbelanjaan sejajar usaha memperluas pelaksanaan kerja-kerja disinfeksi dan sterilisasi di sekitar kawasan yang berisiko terdedah kepada virus COVID-19, katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri bersetuju melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah bagi tahun 2020 sehingga 30 Sept ini dan denda lewat cukai tanah bagi tahun 2020 hanya akan dikenakan bermula 1 Okt.

Selain itu, kerajaan negeri memberikan pengecualian bayaran pendaftaran atas urusan turun milik akibat kematian yang berpunca daripada wabak COVID-19 dan inisiatif ini akan memberi manfaat kepada waris apabila berurusan di pentadbiran tanah Johor.

“Kerajaan negeri akan terus mengenal pasti insentif-insentif tambahan yang akan diumumkan dari semasa ke semasa bagi membantu mengurangkan beban yang dihadapi rakyat Johor dan pihak yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19,” katanya.

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply