Covid-19 : Brunei sumbang RM1.7 juta kepada Malaysia

0

Kerajaan Brunei memberi sumbangan berjumlah RM1.7 juta kepada Malaysia untuk keperluan kesihatan semasa pandemik Covid-19 di negara ini.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, sumbangan berkenaan adalah dalam bentuk alat bantuan pernafasan dan ujian saringan Reverse Transcriptase-​Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) yang akan ditempatkan di hospital kerajaan di Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak bermula bulan depan.

“Alhamdulillah, saya ingin maklumkan bahawa Kerajaan Brunei Darussalam berbesar hati menyumbang alat bantuan pernafasan dan PCR COVID-19 test kits bernilai RM1.7 juta yang akan ditempatkan di Hospital Kerajaan di Labuan, Sabah dan Sarawak’, katanya dalam satu kenyataan media kepada The Malaya Post.

Menurut beliau, sumbangan Brunei itu mempamerkan hubungan diplomatik erat dan istimewa yang terjalin selama 37 tahun antara kedua-dua negara sekali gus menunjukkan komitmen tinggi sebagai negara anggota ASEAN dalam menangani krisis Covid-19.

“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta Kerajaan Brunei Darussalam atas keprihatinan ini.

“Inilah lambang keakraban kedua-dua negara. Saya dan Dato Erywan akan pastikan hubungan baik ini terus dipelihara sebaiknya. Terima kasih Brunei!”, ujar beliau lagi.

Terdahulu, Hishammuddin mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawatnya, Datuk Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd. Yusof, Menteri Luar Negeri II Negara Brunei Darussalam berkenaan sumbangan tersebut.

Dalam perbualan telefon itu, kedua-dua negara turut menyentuh tentang pelaksanaan 5 konsensus yang dicapai semasa Mesyuarat Pemimpin ASEAN April lalu berhubung ASEAN-Myanmar, mandat dan pelantikan utusan khas ASEAN serta garis masa yang relevan untuk melaksanakannya.

“Datuk Erywan dan saya juga memperbaharui komitmen kedua-dua negara untuk terus bekerjasama dan saling membantu terutamanya dalam situasi semasa pandemik Covid-19 ini

“Sejak Mac 2020, Brunei merupakan antara negara pertama yang bekerjasama dengan Malaysia untuk mendepani cabaran serta impak berikutan penularan pandemik,” katanya.

Menurut beliau, antara kerjasama itu termasuklah beberapa misi repatriasi rakyat kedua-dua negara dari Arab Saudi, India, Kemboja, Mesir, dan Sri Lanka serta memudah cara urusan pulang rakyat kedua-dua negara ke Malaysia dan Brunei.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply