Covid-19 : ATM bina ‘Field ICU’

0

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah selesai mendirikan ’Field ICU’ bertempat di perkarangan Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang semalam.

Memetik perkongsian Datuk Noor Hisham Abdullah di laman Facebook peribadinya, ia dilakukan dengan harapan dapat membantu memastikan rawatan terbaik diberikan kepada pesakit terutamanya yang kritikal COVID-19 dan seterusnya mengurangkan kadar kematian akibat pandemik tersebut di Malaysia.

Menerangkan lebih lanjut, beliau berkata ‘Field ICU’ ini menggunakan konsep modular dimana ia mampu merawat sehingga 27 pesakit kritikal COVID-19 yang memerlukan bantuan pernafasan serta peralatan ‘life support’ lain.

Selain itu, makmal modular dan unit radiologi modular turut didirikan bagi memberikan kemudahan perkhidmatan sokongan klinikal.

“Perkhidmatan ‘Field ICU’ ini akan mula beroperasi tidak lama lagi secara berperingkat.

“Sebagai permulaan, seorang pakar anestesiologi dan rawatan rapi, dua orang pegawai perubatan dan 14 orang jururawat terlatih dalam rawatan rapi akan memulakan tugas. Kekuatan tenaga kerja daripada pelbagai kategori ini akan dipertingkatkan lagi mengikut keperluan dari semasa ke semasa”, jelasnya.

Untuk rekod, Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK) ATM juga pernah mendirikan hospital medan untuk pesakit ‘non-COVID’ di Tawau Sabah, Makeshift COVID-19 Hospital di Penjara Pokok Sena Kedah dan terkini di Kapit Sarawak.

ATM turut memainkan peranan penting dalam membantu NADMA dan KKM bagi menjayakan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS dan PKRC MAEPS 2.0 yang mampu menampung sehingga 8,000 katil bagi merawat pesakit COVID-19 negeri-negeri Lembah Klang dan sekitarnya.

“Kolaborasi antara agensi sebegini sentiasa dialu-alukan dalam usaha kita sebagai satu pasukan memerangi pandemik COVID-19,” kataTan Sri Dr Noor Hisham Abdullah lagi. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply