China berdepan lonjakan kes, Jepun lanjut darurat ketika Olimpik

0

Ratusan ribu penduduk di China berada dalam pelaksanaan perintah sekatan pergerakan semalam ketika negara itu memerangi wabak COVID-19 terburuk dalam beberapa bulan, manakala Jepun melanjutkan tempoh darurat akibat jangkitan yang semakin meningkat.

Menurut kiraan AFP, purata kes harian baharu global meningkat sebanyak 10 peratus pada minggu lalu, sebahagian besarnya disebabkan oleh varian Delta yang sangat menular selepas jangkitan mulai turun antara akhir April dan pertengahan Jun.

Walaupun wilayah Asia Pasifik teruk dilanda jangkitan dengan Vietnam dan Jepun mencatat lonjakan kes harian sebanyak 61 peratus, negara barat juga berdepan peningkatan kes dengan Amerika Syarikat dan Kanada mencatatkan lebih 57 peratus jangkitan.

Di China, kes jangkitan di bandar Nanjing berkaitan pekerja lapangan terbang yang membersihkan pesawat dari Russia awal bulan ini sudah merebak ke Beijing dan lima wilayah sehingga semalam.

Pelaksanaan perintah sekatan pergerakan membabitkan ratusan ribu orang di wilayah Jiangsu, manakala 41,000 penduduk di daerah Changping Beijing diarahkan tinggal di rumah.

Sementara itu Jepun melanjutkan perintah darurat di Tokyo dan memperluas ke empat wilayah lagi selepas kes baharu mencecah 10,000 buat pertama kali pada Khamis lalu.

Angka kes di Jepun tetap kecil berbanding di kebanyakan tempat, dengan 3,300 jangkitan baharu dilaporkan di Tokyo semalam, tetapi pakar berkata sistem perubatan sudah berisiko dibanjiri pesakit dengan hanya satu perempat penduduknya diberi vaksin sepenuhnya.

Kes jangkitan berlaku ketika Tokyo menjadi tuan rumah Sukan Olimpik, yang mana penganjur semalam melaporkan 27 kes baharu yang berkaitan dengan temasya itu, iaitu angka harian tertinggi setakat ini.

Australia sementara itu mengumumkan bahawa ia tidak akan membuka semula sempadan dan membatalkan sekatan pergerakan sehingga kadar vaksinasi mencapai 80 peratus.

Kerajaan Filipina, yang menutup lapangan terbangnya bagi sebahagian besar perjalanan antarabangsa selama berbulan-bulan, semalam berkata ia akan melaksanakan perintah sekatan pergerakan kepada lebih 13 juta penduduk di ibu negara minggu depan kerana peningkatan kes yang berkaitan dengan varian Delta.

Di Jerman, Menteri Kesihatan Jens Spahn berkata kerajaan memperketat langkah sekatan kepada mana-mana individu yang tidak divaksinasi daripada memasuki negara itu tidak kira sama ada mereka tiba dengan kapal terbang, kereta atau kereta api.

Walaupun banyak negara termiskin di dunia belum menerima dos pertama, Israel semalam mula memberikan vaksin dos penggalak ketiga kepada rakyatnya yang berusia lebih dari 60 tahun.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply