CAP gesa kerajaan haramkan penjualan jenama arak Timah di Malaysia

0

“Haramkan penjualan jenama arak Timah keluaran Malaysia di pasaran negara ini.”

Gesaan itu disuarakan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kepada kerajaan Malaysia supaya segera mengharamkan penjualan jenama arak terbabit di negara ini.

Apa yang lebih mengejutkan, iklan dan promosi arak berkenaan dianggap biadap berikutan penampilan imej lelaki berkopiah dengan janggut panjang, seolah-olah memaparkan individu berimej agama.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow, berkata CAP kesal mengenai jabatan yang memberi kebenaran penjualan arak berkenaan di pasaran tempatan.

“Selain kandungan alkohol, CAP tidak faham bagaimana pihak kementerian boleh memberi kebenaran menggunakan nama dan gambar yang boleh mencetuskan kemarahan.

“Nama Timah itu bagai satu penghinaan kepada umat Islam apabila jenama yang ditonjolkan berkait dengan nama Melayu dan Islam iaitu Timah yang disingkatkan daripada Fatimah.

“Malah, nama arak Timah itu sendiri dianggap sebagai hasil usaha berterusan dalam sejarah Tanah Melayu membawa kepada kemajuan pembangunan negara pada awal abad ke-20,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya arak berkenaan dijual pada harga RM190 sebotol dengan kandungan alkohol sebanyak 40 peratus.

Jumlah itu menunjukkan kandungan alkohol adalah tinggi, sekali gus menimbulkan masalah sosial dalam kalangan peminumnya.

“Ia menggunakan label, gambar dan perkataan tidak masuk akal. Justeru, CAP mendesak kerajaan menjelaskan pendirian terhadap isu ini,” katanya.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply