Perang mulut antara Peguam Haniff Khatri Abdulla dan pimpinan tertinggi DAP nampaknya tiada nokhtahnya.
Malah Haniff Khatri dalam suatu kenyataan balasnya hari ini berkata pemimpin DAP seperti P Ramasamy, Lim Kit Siang, Ramkarpal Singh dan Charles Santiago tersilap langkah apabila membidasnya kerana mengatakan PH pernah berjanji memansuhkan SOSMA.
Ini kerana merujuk buku berkenaan PH tidak pernah berjanji akan mansuh keseluruhan SOSMA.
Sebaliknya sebahagian seksyen-seksyen drakonian dalam SOSMA sahaja.
“Buku Harapan jelas mengatakan PH hanya berjanji memansuhkan seksyen-seksyen drakonian dalam Sosma seperti peruntukan mengenai jaminan, pengendalian perbicaraan dan bagaimana keterangan dikemukakan. Buku itu tidak pernah kata PH akan mansuh keseluruhan Sosma.”
SOSMA baru-baru ini digunakan terhadap 2 wakil rakyat DAP, dan 8 yang lain, atas tuduhan berkaitan sokongan kepada Harimau Pembebasan Tamil Eelam.
Terdahulu beberapa pemimpin DAP mengkritik Tuan Haniff Khatri kerana berkata kenyataan pemimpin DAP terhadap siasatan berhubung LTTE memberi gambaran parti itu mengganggu urusan polis.
“Mereka tidak boleh minta agensi penguatkuasaan jangan guna undang-undang itu sedangkan ia masih ada,” kata Haniff.
Beliau berkata kerajaan patut mengarahkan Jabatan Peguam Negara merangka peruntukan-peruntukan yang mahu dipinda.
“Ruang yang sewajarnya untuk membahaskan isu Sosma adalah di Dewan Rakyat dan pindaan itu sepatutnya dibuat 1 1/2 tahun dulu,” kata Haniff.