Bukit Aman siasat penularan video dan mesej lucah babit pendakwah terkenal

0

Polis telah membuka satu kertas siasatan susulan penularan video dan mesej lucah di laman sosial Telegram yang didakwa membabitkan seorang pendakwah terkenal.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Katanya, pihaknya juga menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai untuk menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam, menggugat keharmonian negara dan menjejaskan siasatan.

“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pegawai Penyiasat : 03-22666071

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini dimohon untuk menyalurkannya kepada Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Superintendan Junainah M Kasbolah atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Khabir Mohd Afandi di talian 03-22666071.

Terdahulu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) membuat pendedahan berhubung gangguan seksual yang didakwa membabitkan seorang penceramah terkenal di laman sosial Telegram.

Tindakan Multiracial Reverted Muslims (MRM) mendedahkan beberapa keping tangkap layar yang memaparkan perbualan berunsur lucah di antara penceramah terkenal terbabit dengan seorang wanita itu didedahkan bertujuan untuk kesedaran bahayanya pemangsa seksual.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply