Bukan sahaja indah, Taman Tasik Taiping beri manfaat terhadap ekosistem dan ekologikal  

0

Taman Tasik Taping pada asalnya merupakan kawasan perlombongan bijih timah dan merupakan taman awam terbesar dalam negara.

Menariknya, taman ini mempunyai catatan sejarah menyatakan keindahan ketika mula dibangunkan, ianya kelihatan seolah-olah menyamai Kensington Park, London, iaitu sebuah taman awam yang tersenarai dalam lapan ‘Royal Park’ tercantik di London.

Pada asalnya taman yang berlokasi di Jalan Pekeliling,Taiping, Perak ini dibangunkan mengikut konsep ‘Rolling Meadows’ yang membawa konsep mengadaptasi kawasan hijau dan lapang berkontur dan pokok-pokok besar sebagai elemen utama serta tasik sebagai pelengkap lanskapnya.

Taman yang berkeluasan kira-kira 64 hektar atau 160 ekar ini terdapat pelbagai komponen lanskap yang saling melengkapi di antara satu sama lain, sehingga menjadikan taman awam yang berusia lebih 130 tahun ini antara taman awam yang terbaik serta terindah di Malaysia.

Di antara komponen terpenting yang ada di taman ini ialah tiga tasik besar yang dikenali sebagai South Lake, West Lake dan Jungle Lake serta kolam-kolam kecil yang memainkan peranan utama dalam mengekalkan kelestarian dan kemampanan taman awam serta bandar Taiping.

Bukan hanya keindahan dan kecantikan flora dan fauna yang ingin ditonjolkan pihak berwajib dalam menaiktaraf aset pelancongan ini.

Difahamkan, Taman Tasik Taiping memiliki banyak kelebihan yang memberi kesan sangat baik terhadap ekosistem semulajadi.

Antara fungsi mesra alam semulajadi taman ini ialah, ianya bertindak sebagai sebahagian dari zon takungan air bagi mengelakkan kejadian banjir kilat di bandar Taiping.

Taman Tasik Taiping juga menjadi rumah kepada lebih 2,500 batang pokok dari lebih 75 spesis termasuk spesis eksotik seperti teratai putih, pokok seroja, pokok tembusu, pokok Hujan-Hujan, pokok Brazil Nut, Jacaranda Filicifolia serta pelbagai spesis tempatan.

Pohon-pohon segar menghijau dalam taman ini turut berfungsi sebagai ‘green lung’ dan ‘air filter’ di bandar, kawasan perumahan dan komersial dalam daerah ini.

Kehebatan pembinaan tasik buatan ini bukan sahaja berjaya menarik minat kehadiran para pelancong dari dalam dan luar negara sehingga menempatkan di antara lokasi yang paling aktif dan banyak menerima kunjungan pelawat, malah taman ini juga telah diiktiraf sehingga layak menerima pelbagai anugerah.

Pada 21 Disember 2018, Taiping telah tersenarai dalam 100 destinasi lestari @ hijau terbaik dunia 2018 oleh Green Destination Award.

Taman Tasik Taiping adalah di antara kriteria yang termasuk dalam anugerah ini. Sebelum ini Taman Tasik Taiping pernah memenangi pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan termasuklah dinobatkan sebagai ’Best City & Town Park 2018’, Destinasi Pelancongan Warisan & Eko Terbaik oleh Malaysia Tourism Council Gold Award, Green Initiative Award oleh Malaysia Landscape Architecture Award 2017 dan lain-lain.

Anugerah-anugerah ini merupakan platform yang telah dipasakkan oleh Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dengan bantuan dan kerjasama masyarakat yang turut sama menjaga kelestarian taman ini.

Pada awal tahun lalu, Taman Tasik Taiping juga telah diwartakan sebagai warisan negara di bawah  Akta Warisan Negara bersama beberapa aset bersejarah di Perak yang lain.

Untuk rekod, taman ini telah dibangunkan dari idea asal seorang Penguasa Polis yang bertugas di Taiping pada tahun 1884 iaitu Colonel Robert Sandilands Frowd Walker.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply