Bila wabak melanda : Belajar dari sejarah umat terdahulu

0

Oleh : Nasharudin Mat Isa

Hari ini adalah hari kelima kita semua duduk dirumah. Setakat artikel ini ditulis, angka kematian sudah semakin meningkat. Munajat terus kita panjatkan kepada Allah SWT agar segera menghilangkan wabak ini dari kita semua. Sejarah telah membuktikan bagaimana wabak yang berjangkit sebegini pernah beberapa kali melanda dunia sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa manusia yang begitu ramai sekali.

Artikel pendek ini akan mengimbau sedikit sejarah penularan wabak sebegini sepanjang sejarah Islam dimana banyak musibah seperti penularan taun dan penyakit berjangkit lain dan melihat bagaimana umat terdahulu menangani nya. Dr. Ali Sallabi, seorang tokoh sejarah Islam telah menukilkan bahawa, antara wabak besar yang pernah dicatatkan didalam sejarah Islam adalah :
Taun ‘Imawas (18 H/693M)
Taun Jarif (69 H / 688 M)
Taun Fatayaat atau Al Ashraf (87H /705 M)
Taun Muslim bin Qutaibah (131 H/748M)
Wabak pada zaman pemerintahan Abbasiah, Mamluki dan Ayubi.

Penyakit Taun Imawas ini berlaku pada zaman Saidina Umar Al Khattab radiyallahu anhu pada tahun ke 18 Hijrah. Dinamakan dengan taun imawas kerana wabak ini dikatakan bermula dari sebuah perkampungan bernama ‘Imawas yang terletak diantara bandar Al Quds dan bandar Ramallah di Palestine. Wabak ini kemudian nya telah merebak sehingga ke seluruh negeri Syam (Syria) selepas berlaku peperangan yang dahsyat antara tentera Islam dan tentera Rom yang telah mengorbankan ramai jiwa. Akibat dari mayat yang bergelimpangan, apabila mula mereput, wabak ini telah merebak kerana dibawa tiupan angin sehingga ke negeri Syam dan mengorbankan ramai dari kalangan sahabat dan nama nama besar dalam Islam antaranya Abu Ubaidah bin Al Jarrah, Mu’az bin Jabal, Yazid bin Abi Sufyan, Al Harith bin Al Hisyam, Suhail bin Amru, Utbah bin Suhail.

Wabak Taun Jarif pula telah berlaku di Basrah pada tahun 69 Hijrah dizaman Abdullah bin Zubair. Perkataan ‘jarif’ bermaksud menyapu dan dinamakan taun ini sebagai taun jarif kerana kesan dari wabak ini telah menyapu /mengorbankan begitu ramai nyawa manusia walaupun dikatakan bahawa taun ini hanya melanda dalam tempoh tiga hari sahaja.

Pada tahun ke 87 Hijrah pula, telah tersebar pula satu lagi wabak di Iraq dan Syam yang dikenali sebagai Taun Fatayaat. Fatayaat pula bermaksud remaja perempuan kerana pada peringkat awal nya taun ini hanya menyerang golongan wanita dan remaja perempuan sebelum kemudiannya menyerang kaum lelaki. Taun ini juga dikenali dengan nama Taun Al Asyraf atau taun orang orang bangsawan kerana ramai yang mati kerana nya adalah dari golongan ini.

Taun terakhir yang melanda pada zaman pemerintahan kerajaan Umayyah berlaku pada tahun 131 Hijrah dan dikenali sebagai Taun Muslim bin Qutaibah. Taun ini dinamakan sedemikian mengambil sempena nama Muslim bin Qutaibah yang merupakan mangsa pertama yang meninggal dunia dan telah melanda Bandar Basrah selama tiga bulan. Dikatakan juga bahawa taun yang melanda pada bulan Ramadhan ini telah menyebabkan kematian yang begitu ramai sehingga ada hari hari nya angka mencecah sehingga satu ribu kematian sehari.

Pada tahun 656 Hijrah, ketika Moghul menyerang dan memusnahkan Kota Baghdad, solat Jumaat dan solat berjemaah telah terhenti selama beberapa bulan akibat dari tular nya satu wabak taun yang berlansung selama empat puluh hari. Kota Baghdad menjadi padang jarak padang tekukur dan yang kelihatan berada diatas jalanraya nya hanya lah orang orang kurang siuman. Mayat yang bergelimpangan tidak dapat diurus dan apa bila hujan turun, sekali lagi wabak nya telah tersebar sehingga ke negeri Syam.

Pada Tahun 784 Hijrah, dizaman pemerintahan Kerajaan Mamalik, wilayah Syam telah dilanda pula dengan taun yang cukup besar dan dikenali dengan Taun Al ‘Azam atau taun yang amat besar sehingga melanda Bandar Halab (Aleppo) , Dimashq (Damascus), Al Quds di Palestine dan kawasan pesisiran pantai. Pada tahun 795 Hijrah juga, Bandar Halab (Aleppo) telah dilanda dengan satu penyakit yang dikenali sebagai ‘Al Fanaa’ al ‘azeem’ yang telah mengorbankan 150 ribu mangsa dari bandar Halab dan kawasan sekitarnya.

Pada tahun 571 Hijrah pula satu wabak taun telah melanda Maghribi dan Andalus yang telah mengorbankan juga nyawa yang ramai sehingga mencecah seramai 190 ribu orang termasuk empat orang adik beradik Khalifah Yusuf bin Yaakub.

Demikian lah sedikit sejarah bagaimana mereka yang terdahulu telah diuji dengan ujian penularan wabak. Kalau dilihat pula kepada sejarah dunia secara umum nya, maka senarai wabak yang telah melanda manusia sudah pasti lah akan jauh lebih banyak dengan nama yang pelbagai seperti SARS, EBOLA, AIDS dan sebagai nya.

Kini COVID-19 pula datang dan tular sehingga seluruh dunia hampir lumpuh sekarang ini. Dari benua China, benua Asia sehingga ke benua Eropah semua nya sedang berada dalam keadaan yang bimbang. Moga serangan nya akan membuatkan ramai manusia kembali kepada Allah SWT memohon rahmat dan pertolongan Nya bagi membendung dan menghapuskan wabak ini.

Persoalan yang ingin saya kemuka adalah, bagaimanakah umat terdahulu menangani penularan wabak yang sebegitu dahsyat. Sehingga hari ini, vaksin untuk menanggani COVID-19 masih belum di temui. Kalau dizaman yang sebegini canggih dari segi teknologi dan sains pun, para pakar masih belum dapat menemukan vaksin walaupun usaha usaha masih diteruskan, bayangkan lah dari deretan sejarah yang saya nukilkan diatas, bagaimana susah nya mereka berusaha untuk mencegah dan merawat pada zaman dahulu.

Namun begitu, ada satu kaedah yang telah ditinggalkan kepada kita oleh Rasulullah SAW sendiri dalam mencegah dan merawat. Doa doa yang kita sedia maklum seperti doa yang sedang tular sekarang ini hendak lah dijadikan amalan dan munajat berterusab kita ketika berdepan dengan COVID-19.
Doa;
اللهم انا نعوذ بك من البرص والجنون والجزام ومن سىء الاسقام

juga doa;

بسم الله الذي لا يضر مع اسمه شىء في الارض ولا في السماء وهو السميع العليم

hendaklah kita jadikan wirid berterusan khas nya ketika keadaan kelihatan semakin memuncak sekarang ini dengan jumlah yang didapati positif apatah lagi dengan jumlah kematian yang juga kelihatan meningkat.

Sejarah juga telah memperlihatkan kepada kita bagaimana Rasulullah SAW sendiri telah menyebut nya didalam Hadith Baginda dan diamalkan oleh para sahabat iaitu dengan perlaksanaan kuarantin , ‘social distancing’ dan ‘self quarantine’.

Bagi saya Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang dikuatkuasakan sekarang ini sebenarnya satu Sunnah Rasulullulah SAW yang begitu besar pahalanya untuk dtaati dan di amalkan oleh seluruh warga.

Nasharudin Mat Isa
Bandar Bukit Mahkota
Kajang

*Datuk Dr. Nasharuddin Mat Isa adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM). Di peringkat parti, beliau merupakan mantan Timbalan Presiden PAS (2005-2011).

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili The Malaya Post.

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply