BERSATU Terengganu akan bincang dengan PAS letak calon lawan UMNO – Datuk Razali Idris

0

Pengerusi BERSATU Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris bersedia meletakkan calon di kerusi yang akan ditandingi parti UMNO di negeri berkenaan.

Parti terbabit juga mengesahkan akan menggerakkan jenteranya untuk merampas dua kerusi Parlimen dan 10 kerusi DUN dimenangi UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

“Kita akan berbincang dengan kepemimpinan PAS dan Menteri Besar (Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) untuk membenarkan kita letak calon.

“Kita akan berbincang di mana kerusi UMNO, di situ kita akan lawan,” ujarnya kepada Utusan Online hari ini.

Ini berikutan selepas Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said menyatakan pendirian akan bertanding di semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Dalam pada itu, Razali menerima dengan hati terbuka keputusan UMNO untuk menamatkan kerjasama kedua-dua parti sebaik PRU-15 bermula.

“Tidak ada masalah kerana sebagai ahli politik, pilihan raya adalah kerja kita,” jelasnya.

Terdahulu, dilaporkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan tiada kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Melayu (BERSATU) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 namun akan meneruskan kebersamaan dengan kerajaan  Perikatan Nasional (PN) sehingga pembubaran parlimen.

Keputusan ini diambil sebagai respon ketika pertemuan bersama Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta UMNO membuat pendirian jelas berkenaan kedudukan kerjasama dengan parti berkenaan sebelum rundingan pengagihan kerusi dapat diteruskan bagi menghadapi PRU ke-15.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply