Bermula hanya menjual produk tenusu di pasar malam dan pasar tani, kini susu segar Farm Fresh meraih pendapatan ratusan juta ringgit setahun

0

Adat berniaga pasti ada pasang surutnya dan bermacam dugaan yang harus ditempuhi dalam usaha mencapai kejayaan.

Namun segala halangan dan rintangan yang dilalui tidak pernah mematahkan semangat pengusaha susu keluaran tempatan jenama Farm Fresh, Azmi Zainal.

Cabaran dan perjalanan berliku sewaktu memulakan perniagaan nyata berbaloi apabila berjaya membawa jenama tenusu ini ke peringkat antarabangsa dan telah berjaya meraih perolehan ratusan juta ringgit setahun.

Dia turut menceritakan pengalaman awal ketika mengusahakan perniagaan susu secara kecil-kecilan dengan hanya memiliki 60 ekor lembu serta membeli susu dari penternak lembu yang lain.

Menurutnya lagi, dia sendiri akan menghantar stok susu berkenaan ke Kuala Lumpur dengan menggunakan pengangkutan bas ekspres.

Selain itu pada waktu malam pula dia akan menjual produk tenusu ini di pasar malam dan juga di pasar tani.

Pada permulaannya, produknya hanya dijual di kedai-kedai runcit dan kini susu segar ini mula mendapat pasaran meluas di pasaraya terkemuka seluruh Malaysia.

Dalam melalui kesusahan dan keperitan, terdapat segelintir yang mempersendakan usahanya, tetapi Azmi yang memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) di syarikat berkenaan menjadikan tawaan ramai sebagai semangat untuknya terus maju sehingga ke peringkat tertinggi.

Sehingga kini jenama susu segar Farm Fresh menduduki tempat pertama sebagai produk tenusu tempatan paling terkenal di Malaysia.

Berkat usaha dan doa tanpa putus asa, jenama susu ini semakin berkembang sehingga mampu mempunyai kilang sendiri serta memiliki keluasan beribu-ribu ekar ladang ternakan di Malaysia mahupun di Australia.

Sebagai tanda syukur, dia turut berkongsi kejayaan perniagaannya dengan menghulurkan bantuan dan sumbangan tunai RM10,000 kepada penggiat seni hiburan tanah air yang memerlukan bantuan.

Umum mengetahui, Farm Fresh yang menggunakan tagline ‘ini barulah susu segar’ telah menjadi penaja utama bagi program realiti Gegar Vaganza terbitan Astro yang menyaksikan 12 penyanyi profesional lama atau berpengalaman dalam bidang muzik di Malaysia bersaing dalam satu pertandingan nyanyian.

Leave a Reply