Malang tidak berbau, begitulah perumpamaan yang sesuai dengan insiden yang berlaku didepan mata Aifa Asyikin Azlan dan suami, Muhd Firdaus.
Melalui perkongsian rakaman video dashcam kereta milik pengasas produk Aifa Cosmetic berdurasi 0.36 saat, memperlihatkan kejadian sebuah lori membawa muatan barangan tergelintir jatuh dan berlaku di hadapan kenderaan yang dipandu oleh suaminya.
Menurut Aifa, sebuah lori cuba mengelak ke tepi kerana terdapat sebuah kereta cuba memotong laju namun disebabkan barang muatan yang dibawa agak banyak ditambah pula dengan keadaan jalan yang sempit dan licin telah mengakibatkan lori terbabit tergelincir jatuh ke bendang sawah berhampiran.
Lori berkenaan telah merempuh sebatang tiang dan terjunam jatuh ke bendang sawah yang dipenuhi air hujan.
Dia yang terkejut lantas menjerit dan meminta suaminya membantu pemandu dan pembantu lori terbabit.
“Kalau tak, tak tahu la apa nasib yang menimpa mereka berdua sebab pemandu tu tak dapat nak buka pintu daripada dalam. Kena buka daripada luar. Subhanallah. Allah masih memanjangkan nyawa mereka berdua. Dua dua nampak pucat dan ketakutan.” tulis Aifa.
Diakhir perkongsiannya, dia memberitahu mereka terpaksa meninggalkan tempat kejadian akibat ruang jalan yang sempit bagi mengelak berlakunya kesesakan lalu lintas.
“Tapi jujur jauh sudut hati saya, saya doakan supaya Allah permudahkan urusan mereka berdua.” tulis Aifa mengakhiri perkongsiannya.
Aifa sempat menitipkan pesanan kepada warganet supaya berhati- hati ketika memandu, tatkala musim tengkujuh melanda disesetengah negeri yang menyebabkan jalan raya ditakungi air dan menyukarkan penglihatan.