Berat badan pernah cecah 100 kg, Nurul Zahid akui jalani pembedahan bariatrik

0

“Saya akui pernah mengalami masalah berat badan hingga 100 kilogram”.

Demikian luahan anak Presiden Barisan Nasional, Datuk Nurul Hidayah Binti Ahmad Zahid menerusi laman sosial Instagram peribadinya @nurul.zahid.

Bertindak demi kesihatannya, wanita berusia 42 tahun itu mengambil keputusan menjalani pembedahan bariatrik (pintasan perut) atau istilah popular dalam kalangan masyarakat ‘potong usus’ kira-kira 11 tahun lalu.

“Sejujurnya, saya pernah melakukan prosedur mengecilkan kantung perut dengan menjalani pembedahan bariatrik Sleeve Gastrectomy (kategori gastrektomi lengan),” akuinya.

“Hasil prosedur berkenaan, berat badan yang mencecah 100kg sebelum ini berjaya diturunkan hingga 58kg dalam tempoh hanya setahun setengah.

Cuba untuk jujur serta tidak malu berkongsi perkara baik dan positif, dia berpendapat jangan sesekali menipu dengan menyatakan kejayaan kurus itu kerana bersenam, berdiet atau makan produk kurus jenama sendiri.

“Saya tak tipu. Nak malu apa potong usus atau kecilkan perut?,” soal ibu kepada tiga anak ini.

“Sebelas tahun lalu kos prosedur sebanyak RM15,000. Sekarang dah mahal, tetapi berbaloi,” katanya.

Perkongsian Nurul itu mendapat respon positif daripada warga maya. Majoriti netizen bertanya lebih lanjut kebaikan dan keburukan mengenai prosedur terbabit.

Antaranya, apakah kesan pada kulit badan selepas menjalani proses tersebut, sama ada ia akan mengelebeh ataupun tidak.

“Soalan yang bagus. Ia bergantung kerana kalau gemuk jawapannya, ya. Cuma lepas tiga bulan kena rajin bersenam.

“Lakukan facial urut muka. Kalau malas bersenam pergi menjalani urutan badan dua kali seminggu bagi mengelakkan kulit kendur,” pesannya lagi.

Menerusi ruangan IG Stories, ada pembaca bertanyakan tentang tahap selera makan selepas pembedahan.

“Selepas menjalani pembedahan, selera makan tak menurun. Keinginan untuk menikmati makanan itu sentiasa ada.

“Memang saya stres sebab apabila makan akan muntah. Saya mengambil masa selama setahun untuk membiasakan diri dengan situasi ini. Jadi saya makan dalam kuantiti yang sedikit,” jawabnya yang memiliki ketinggian 167 sentimeter.

Nurul menjelaskan tujuan utama dia melakukan pembedahan ini bukanlah untuk kecantikan semata, malahan demi kesihatan diri.

“Menerusi prosedur bariatrik ini, hasilnya adalah lebih cepat dan lebih sihat,” katanya sambil memberi cadangan kepada individu obesiti untuk melakukan perkara serupa.

Untuk rekod, beberapa selebriti terkenal tanah air yang berjaya menurunkan berat badan hasil pembedahan ini ialah Aisyah, Syani, Rahim Sepahtu, Micheal Ang dan Chef Zam.

Leave a Reply