Bentong bakal jadi bandar raya kedua di Pahang

0

Bentong bakal menjadi bandar raya kedua di Pahang selepas Kuantan dengan jangkaan proses menaik taraf Majlis Perbandaran Bentong dapat diselesaikan tahun ini.

Demikian pengumuman oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin selepas mengadakan lawatan kerja di daerah Maran hari ini. Lawatan disertai Timbalannya Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib yang juga Ahli Parlimen Maran dan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

“Proses menaik taraf itu kini di peringkat pentadbiran yang memerlukan kerajaan negeri membuat permohonan kepada Kerajaan Persekutuan. Ia lazimnya akan mengambil masa beberapa bulan untuk diluluskan oleh Kabinet,” katanya.

Untuk rekod, Bentong sudah memenuhi kriteria untuk diangkat sebagai bandar raya dari segi pendapatan, namun belum mencapai kriteria jumlah penduduk yang perlu iaitu melebihi 500,000 orang.

“Kita akan lihat jika boleh memberikan kelonggaran dengan mengambil kira aspek pembangunan disitu.” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zuraida memaklumkan Majlis Daerah Pekan kini dalam perancangan dinaik taraf kepada majlis perbandaran juga dalam tahun ini, manakala Majlis Daerah Maran (MDM) disasarkan ‘mendapat kenaikan’ itu pada 2022.

Menurut beliau, bagi membantu MDM mencapai sasaran terbabit, kementeriannya hari ini meluluskan peruntukan RM7 juta, dengan RM5 juta adalah bagi kerja pembangunan termasuk membaiki dan baik pulih kerosakan akibat banjir memandangkan daerah itu antara lokasi terjejas teruk ketika banjir pada awal tahun ini.

“Masing-masing RM1 juta lagi adalah bagi membantu pengurusan sisa pepejal dan meningkatkan kemudahan serta infrastruktur di lokasi pelancongan termasuk membangunkan pusat perniagaan memandangkan Maran akan mempunyai stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak lama lagi,” katanya.

Zuraida menambah, garis panduan naik taraf pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan pelancongan sedang diperkemaskan kerana beberapa kriteria seperti jumlah penduduk sukar dipenuhi dan memerlukan panduan berbeza.

Mengulas perkembangan berasingan, kementerian juga telah meluluskan pembinaan balai bomba di Chenor di sini, dan Gambang, Kuantan dengan peruntukan RM4 juta sebuah selain menerima permohonan kerajaan negeri supaya kemudahan itu disediakan di Benta, Lipis kira-kira 185 kilometer dari sini.

“Kelulusan di Chenor dan Gambang dibuat selepas mengambil kira jarak balai bomba terdekat ialah melebihi 30 kilometer dan kepadatan penduduk memerlukan kemudahan itu diberikan bagi keselamatan mereka,” katanya lagi. – BERNAMA

Leave a Reply