Belum ada keperluan laksana PKPD di KEMTA Kamunting

0

Susulan situasi penularan pandemik COVID-19 di Pusat Tahanan Koreksional (KEMTA) Kamunting yang dilaporkan terkawal, kerajaan negeri tidak bercadang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Demikian menurut Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata penularan jangkitan COVID-19 hanya membabitkan satu blok yang dikhaskan kepada tahanan berisiko sahaja.

“Keputusan dibuat pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri Perak kali ke-6 hari ini.

“Pun begitu, sebagai langkah kawalan risiko jangkitan kepada pegawai, anggota dan keluarga mereka, pihak pengurusan KEMTA telah memperketatkan prosedur penugasan anggota di KEMTA.

“Usaha ini sedang giat dilaksanakan dengan kerjasama pihak Hospital Taiping dan juga Pejabat Kesihatan Daerah,” ujar beliau.

Beliau turut memberitahu bilangan anggota yang dikhususkan untuk bertugas di blok ini dihadkan dan mereka diwajibkan memakai Peralatan Pelindung Peribadi (PPE) semasa bertugas.

Pihak pengurusan KEMTA juga memastikan tiada sebarang kontak di antara anggota bertugas dengan tahanan.

“Pergerakan keluar masuk tahanan juga telah dihentikan bagi mengekang penularan baharu dan setakat hari ini tiada laporan penambahan kes positif baharu dalam Kluster Batu.

“Rakyat khususnya penduduk di kawasan sekitar Kamunting dan Taiping dinasihatkan supaya tidak panik dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih,” tambah beliau.

Dalam pada itu, orang ramai diseru agar terus berdisiplin mengamalkan norma baharu bagi mencegah penularan COVID-19 di kalangan komuniti.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply