Bekas pemain bola sepak negara, Mahadi Yusof meninggal dunia

0

Bekas pemain bola sepak negara, Mahadi Yusof meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), petang tadi akibat serangan jantung.

Menurut satu kenyataan dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Kelantan, KAFA Allahyarham Haji Mahadi menghembuskan nafas terakhir pada jam 4 petang tadi sebaik dimasukkan hospital sejak tengah hari akibat mengalami sesak nafas.

Jenazah Allahyarham Mahadi, 74 tahun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol, di sini kira-kira jam 10 malam ini.

KAFA dalam kenyataannya itu turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas jurulatih Kelantan ini.

Allahyarham mula mewakili pasukan negeri pada tahun 1960’an dan pernah memakai lilitan kapten empat tahun berturut-turut, bermula 1974 hingga 1977.

Antara pemain sezaman dengan Allahyarham ialah Irfan Bakti Abu Salim, Nik Salleh Nik Man, Ramli Abdullah, Allahyarham Wan Hassan Wan Ibrahim, Dinoza Yusoff, Nik Fauzi Nik Hassan dan ramai lagi.

Pada tahun 1978, Allahyarham menceburi bidang kejurulatihan dengan menjadi pembantu kepada Allahyarham Haji Mohammad Che Su mengendalikan pasukan Kelantan (1978 dan 1984).

Tahun 1985 menyaksikan beliau mendapat kepercayaan ketika itu dipanggil Persatuan Bola Sepak Amatur Kelantan menjadi ketua jurulatih Kelantan buat pertama kali.

Empat tahun kemudian, Allahyarham sekali lagi diberi tanggungjawab sebagai penolong kepada Allahyarham Majid Arif membimbing Kelantan sebelum bekas jurulatih import Singapura itu meletak jawatan, 25 Julai 1989.

Tahun 1991 dan 1992 juga menyaksikan dua kali Allahyarham dinaikkan pangkat selaku pengendali sementara susulan perletakkan jawatan jurulatih dari Yugoslavia, Milan Duricic dan Horst Heese (Jerman).

Kali terakhir beliau menjadi ketua jurulatih Kelantan ialah pada tahun 1995 ketika kelibat Alexander Freeman (Liberia), Isahaq Debrah dan Edward Aboagye, kedua-dua dari Ghana mewakili negeri ini.

Walaupun tidak lagi terbabit secara langsung dalam bola sepak Kelantan, namun Allahyarham tetap aktif bersama Persatuan Bekas Pemain Lagenda Kelantan (Lagenda) selain menggalas tugas sebagai Presiden Akademi Bola Sepak Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS) di bawah kerajaan negeri Kelantan.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Al-Fatihah.

Leave a Reply