Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr Mohamed Salleh Abas meninggal dunia

0

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr Mohamed Salleh Abas meninggal dunia pada jam 3.20 pagi tadi bertempat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu akibat pneumonia.

“Allahyarham disahkan positif COVID-19 kelmarin dan sedang menerima rawatan di pusat kesihatan tersebut,” demikian kenyataan yang dibuat oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif as-Salihin Trustee Berhad, Abdul Aziz Peru Mohamed.

“Pihak hospital mengambil langkah berjaga-jaga atas faktor umur Tun (Mohamed Salleh),” katanya.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 91 tahun.

Mengenang kembali sejarah hidupnya,
Allahyarham yang dilahirkan di Kampung Raja, Besut telah menyandang jawatan Ketua Hakim Negara pada tahun 1984 sehingga 1988.

Pernah memenangi kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih atas tiket PAS pada 1999, Allahyarham juga merupakan Pengerusi Syarikat as-Salihin Trustee Berhad.

Menurut rekod, Allahyarham melanjutkan pendidikannya di Universiti Wales, United Kingdom (UK) pada 1949 dan memperoleh ijazahnya dalam bidang undang-undang.

Pada 1957, beliau kembali ke Malaysia dan menjadi majistret di Kota Bharu, Kelantan tidak lama selepas kemerdekaan.

Pada tahun yang sama, Salleh dipindahkan ke ibu negara Kuala Lumpur di mana beliau berkhidmat sebagai Penolong Pendakwa Raya.

Beliau menyambung pengajian di UK semula dan memperolehi ijazah sarjana dalam undang-undang antarabangsa dan perlembagaan di Universiti London.

Sekembalinya semula ke tanah air pada 1962, Allahyarham dilantik sebagai Penasihat Undang-undang dan Penolong Pendakwa Raya untuk kedua-dua Negeri Sembilan dan Melaka.

Setahun kemudian, beliau pulang ke Kuala Lumpur dan menyandang berbagai-bagai jawatan di bawah Peguam Negara, dan akhirnya dilantik sebagai Peguam Cara Negara.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim di Jalan Pusara, Kuala Terengganu jam 10.40 pagi tadi.

Kami warga kerja The Malaya Post Portal mengucapkan salam takziah buat ahli keluarga Allahyarham.

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman.

Al Fatihah.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply