KUANTAN: Bekas ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR yang telah dipecat dari parti pada November 2019, Zakaria Abdul Hamid, hari ini mengumumkan secara rasmi penyertaannya ke parti BERSATU. Turut bersama menyerahkan borang hari ini adalah 300 ahli Penggerak Komuniti Negara (PKN) Kuantan.
Perkara tersebut telah di umum dalam satu kenyataan media yang telah di hantar kepada The Malaya Post oleh Haji Razali Ithnin, Setiausaha PKN Negeri Pahang hari ini.
Zakaria, yang juga Pengerusi Penggerak Komuniti Negara(PKN) Negeri Pahang turut mengumumkan penyertaan beliau hari ini ke parti BERSATU akan di susuli oleh 3500 ahli PKN Pahang yang rata-rata ahli parti PKR dalam masa terdekat.
“Penyerahan borang keahlian telah diterima saudara Mohd Hafeez Yunus, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Kuantan hari ini” jelas Haji Razali Ithnin.
“Zakaria akan mengetuai Biro Kebajikan Rakyat, Kebudayaan dan Kesenian; serta akan menggerakkan aktiviti persiapan pilihanraya di cawangan Medan Tok Sira dalam Bahagian Kuantan berkenaan”
“Penyertaan Zakaria akan disusuli dengan penyertaan anggota PKN seluruh Pahang yang dianggarkan seramai 3500 orang dalam tempoh terdekat ini”
“Kemasukan anggota PKN ini akan dapat membantu memperkukuhkan Bersatu Negeri Pahang khasnya, dan Malaysia amnya, sekaligus memberi sokongan moral kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menangani pandemik Covid-19 dan usaha pemulihan ekonomi negara” jelas Haji Razali Ithnin lagi.
Pada November 2019, Zakaria telah dipecat oleh Lembaga Disiplin PKR. Beliau ketika itu adalah ahli Majlis Pimpinan Pusat dan Ketua Cabang PKR Bera. Zakaria telah di lantik sebagai pengerusi baharu FINAS pada Mei 2020.