Bekalan air bersih mula disalurkan ke kawasan terjejas pagi tadi

0

Bekalan air bersih dan selamat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih mula disalurkan secara berperingkat ke semua lokasi terjejas mulai jam 7 pagi tadi.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Elina Baseri dalam satu kenyataan, bekalan air itu bagaimanapun dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah hari, Jumaat ini.

“Air Selangor sudah menjalankan ujian kualiti air sudah dan ia mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk digunakan.

“Air terawat dari LRA Sungai Semenyih juga disahkan selamat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk diagihkan kepada pengguna,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Sebanyak 463 kawasan di lima daerah Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas LRA Sungai Semenyih dihentikan tugas akibat pencemaran bau dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir, pagi semalam.

Pencemaran dikesan pada jam 11.10 pagi itu menjejaskan bekalan air di 172 kawasan di Petaling, manakala Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).

Tambahnya, setakat ini, Air Selangor sedang berusaha untuk menstabilkan sistem agihan bekalan air di semua kawasan yang terjejas.

“Sebanyak 94 lori tangki air sudah digerakkan ke kawasan pengguna yang terjejas sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

“Air Selangor memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori tangki,” katanya.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat bekalan air dari masa ke semasa melalui aplikasi Air Selangor, laman sesawang www.airselangor.com dan semua saluran rasmi sosial media Air Selangor termasuk Facebook, Twitter dan Instagram Air Selangor.

Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply