BANJIR DI PANTAI TIMUR : Lapan daerah di Terengganu terjejas banjir, enam stesen mencatatkan bacaan paras sungai melepasi tahap bahaya

0

Daerah Kuala Terengganu mula dilanda banjir sejak semalam dengan jumlah mangsa seramai 22 orang dari empat keluarga disebuah pusat pemindahan sementara (PPS) menjadikan semua lapan daerah di negeri ini terjejas banjir.

Namun di daerah-daerah lain, cuaca semakin baik dan banjir mulai surut dan jumlah mangsa banjir di Terengganu menurun kepada 4,912 orang daripada 119 keluarga di 119 PPS.

Setiu pula merekodkan seramai 1,406 mangsa daripada 398 keluarga yang dipindahkan ke 26 PPS di daerah itu, manakala seramai 876 mangsa daripada 324 keluarga pula masih berada di 15 PPS di Hulu Terengganu, manakala di Dungun 410 mangsa daripada 106 keluarga terjejas berada di 15 PPS.

Seramai 160 mangsa daripada 46 keluarga pula dipindahkan ke empat PPS di Kuala Nerus, manakala Marang menyaksikan 129 mangsa daripada 79 keluarga ditempatkan di lima PPS.

Sementara itu, laporan laman web publicinfobanjir.water.gov.my menunjukkan enam stesen mencatatkan bacaan paras sungai melepasi tahap bahaya, manakala enam lagi melepasi paras amaran.

Sungai yang melepasi tahap bahaya ialah Sungai Besut di Jambatan Keruak; Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri; Sungai Nerus di Kampung Langkap; Sungai Nerus di Kampung Bukit; Sungai Telemong di Kuala Ping dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau.

Sungai Dungun di Kuala Jengai, Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan; Sungai Besut di Kampung La dan Jambatan Jertih; Sungai Setiu di Kampung Besut dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok direkodkan pada paras melepasi tahap amaran.

Leave a Reply