Bangkai KMP Yunice pada kedalaman 78 meter

0

Berita luar negara.

Bangkai kapal penumpang KMP Yunice yang karam, dilaporkan ditemukan di Selat Bali pada kedalaman kira-kira 78 meter oleh KRI Rigel-933 yang dikerahkan dalam operasi mencari KMP Yunice.

Lapor Kompas, setakat ini, seramai 39 penumpang berjaya diselamatkan manakala tujuh orang terkorban dalam insiden kapal karam itu.

Daripada jumlah 39 mangsa terselamat, sebanyak lima orang tidak termasuk dalam senarai pendaftaran penumpang kapal.

Senarai data itu memaklumkan KMP Yunice membawa seramai 53 penumpang termasuk 12 anak kapal.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa menjadi lebih sukar apabila terdapat kekeliruan dalam senarai penumpang yang berdaftar dan tidak.

KMP Yunice karam dipercayai akibat dibadai arus kuat di Selat Bali, Indonesia, kelmarin.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 7.12 malam

(waktu Indonesia Timur) ketika KMP Yunice dalam perjalanan dari Pelabuhan Ketapang, Banyuwangi menuju ke Pelabuhan Gilimanuk.

Ketua Pejabat Syahbandar Lembaga Pelabuhan Tanjungwangi (KSOP) Banyuwangi Benyamin Ginting memaklumkan ketika kejadian, ketinggian gelombang mencapai antara tiga hingga lima meter.

Dalam pada itu, Komander Banyuwangi Kodim, Leftenan Kolonel Yuli Eko berkata, mangsa yang diselamatkan telah dipindahkan ke Pelabuhan Ketapang.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan termasuk patah tulang dan sesak nafas dibawa ke Hospital Blambangan, Banyuwangi.

Terdahulu, Angkatan Laut Indonesia memaklumkan dua kapal perang iaitu KRI Rigel-933 dan KRI Soputan-923 telah dikerahkan untuk mencari KMP Yunice.

Menurut Ketua Penerangan Angkatan Laut, KRI Rigel-933 berjaya menemukan sebuah bot penyelamat kapal yang diangkat dengan menggunakan kren.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply