Bahaya dalam rumah, apa kata pakar?

0

Walaupun kebanyakan kanak-kanak  menghabiskan masa di dalam rumah bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Namun ia bukanlah menjanjikan persekitaran itu selamat.

Kanak-kanak juga terdedah kepada bahaya di rumah.

Ironinya banyak faktor menyebabkan kanak-kanak boleh terdedah dengan pelbagai kemalangan dan risiko kecederaan termasuk di rumah.

Lapor media Pakar Pediatrik Hospital Pantai Cheras, Dr Kelvin Chee Chun Lin tidak menafikan berlakunya beberapa kecederaan dalam kalangan kanak-kanak ketika berada di rumah.

“Dengan keadaan sekarang yang mana kanak-kanak lebih lama di rumah, walaupun sepatutnya selamat ada kemungkinan rumah boleh mengundang bahaya.

“Kecederaan bukan sengaja seperti kemalangan luar jangka yang berlaku dalam rumah dan ia antara punca kematian utama kanak-kanak seluruh dunia.

“Kebanyakan kes membabitkan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah kerana pada usia berkenaan mereka masih belum mengenali erti bahaya,” katanya.

Tambah beliau, didorong perasaan ingin tahu yang tinggi boleh menyebabkan kanak-kanak berkenaan merisikokan diri tatkala berada dalam rumah.

Beberapa kemalangan atau kecederaan kerap dilaporkan sering berlaku di rumah antaranya luka disebabkan peralatan tajam, terkena benda panas, kejutan elektrik dan sebagainya.

Perkongsian beliau itu bukan bertujuan membentuk ibu bapa yang paranoid atau begitu mengawal ketat pergerakan anak kecil mereka.

Sebaliknya untuk persediaan awal terhadap aspek keselamatan perlu diamalkan dalam rumah supaya perkembangan harian anak-anak berlangsung dalam keadaan selamat.

Berikut tip boleh dilakukan ibu bapa atau golongan dewasa yang berada di rumah apabila berdepan dengan situasi kemalangan dalam rumah seperti berikut:

1. Luka akibat terkena peralatan tajam

Kecederaan yang paling mudah atau kerap berlaku ialah berpunca daripada peralatan tajam seperti pisau dan gunting atau serpihan tajam daripada objek pecah seperti kaca dan seramik.

Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah menghentikan perdarahan. Ia menerusi cara menekan luka dengan kain bersih atau hanya dengan jari jika tiada kain. Biasanya perdarahan akan berhenti selepas 10 minit. Pengaliran darah boleh diperlahankan dengan meninggikan bahagian badan yang tercedera.

Selepas perdarahan berhenti, luka itu boleh ditutup dan dilindungi dengan kain ‘gauze’ atau pelekat plaster. Jika anda merasakan ada objek seperti kaca masih tertinggal di dalam luka, dinasihatkan untuk mendapatkan bantuan di klinik atau hospital dengan segera.

Kecederaan seperti ini mudah dielakkan dengan menyimpan peralatan tajam di tempat selamat. Sebolehnya, elakkan perkakas kaca

digunakan kanak-kanak. Pastikan kaca di perabot adalah kalis hancur (shatterproof).

2. Terkena objek panas

Kecederaan terbakar atau melecur (burn injury), boleh berpunca daripada terkena api, lecuran oleh air panas dan kontak dengan objek panas seperti seterika.

Secepat mungkin, cuba sejukkan kulit yang terjejas dengan mengalirkan air paip di bahagian berkenaan atau direndam dalam cecair sejuk untuk tempoh sekitar 10 minit.

Selepas itu, lindungi bahagian kulit berkenaan dengan tuala bersih atau plastik lekat (cling plastic), untuk mengurangkan risiko jangkitan. Dilarang menanggalkan pakaian yang terlekat pada kulit terbakar.

Justeru itu, ibu bapa atau penjaga dinasihati membawa si manja ke klinik atau hospital berdekatan untuk rawatan.

Antara langkah berjaga-jaga yang boleh diamalkan, termasuk menjauhi objek panas seperti cerek, seterika dan periuk daripada pinggir perabot. Kanak-kanak secara semula jadi mudah tertarik kepada objek yang separa kelihatan dan dalam jarak capaian.

3. Kejutan elektrik

Apabila anak kesayangan terkena renjatan elektrik, cuba tidak panik. Terlebih dahulu, matikan punca elektrik. Anda boleh juga menggunakan objek panjang kayu (seperti penyapu) atau plastik untuk menolak mangsa dari punca elektrik.

Selepas selamat, periksa tindak balas dan kesedaran si manja dan dapatkan pemeriksaan serta rawatan di klinik atau hospital.

Untuk memastikan kejadian ini tidak berlaku, jauhi peralatan elektrik dari jarak capaian kanak-kanak. Penutup soket elektrik dapat mengelakkan kanak-kanak dari memasukkan jari ke dalam soket berkenaan

4. Lemas

Kanak-kanak boleh lemas di dalam air yang hanya secetek 5 sentimeter. Paling membahayakan apabila kemalangan jenis ini berlaku secara senyap tanpa jeritan atau tangisan kanak-kanak itu. Ini menyebabkan kejadian ini sudah terlewat apabila dikesan.

Antara tempat-tempat yang berisiko tinggi seperti tong simpanan air, kolah air dan kolam kembung (inflatable pool). Pastikan tempat simpanan air mempunyai penutup selamat dan selepas digunakan, kosongkan kolam kembung. Jangan sesekali tinggalkan anak apabila terdapat takungan air berdekatan.

Termasuk dalam kategori ini adalah lemas akibat leher kanak-kanak terlilit dengan objek panjang seperti tali langsir, lemas apabila kepala dalam beg plastik dan kes bayi lemas berpunca daripada bantal atau selimut yang terlalu berat dan besar. Kebanyakan barangan ini, datang dengan amaran keselamatan dan ibu bapa harus amalkan sikap membaca label dan beri perhatian kepada amaran terbabit.

5. Termakan racun

Racun yang dimaksudkan, bukan sahaja bahan kimia yang sering berada di rumah seperti cecair pencuci dan racun pestisid, tetapi juga termasuk ubat-ubatan orang dewasa. Perasaan ingin tahu kanak-kanak, memang tidak dapat membezakan bahan yang bahaya dan selamat.

Jika kemalangan ini berlaku, sebolehnya pastikan jenis bahan atau ubat yang sudah termakan. Bawa bahan-bahan itu bersama apabila mendapatkan rawatan daripada doktor atau paramedik. Ubat yang masih tertinggal, boleh dihitung untuk menganggarkan dos yang termakan. Anda boleh hubungi Pusat Racun Negara yang dapat memberi nasihat atau langkah kecemasan yang boleh dilakukan sebelum dibawa ke hospital atau klinik.

Mengikut kajian, dua tempat yang lebih selamat untuk menyimpan ubat dan objek tajam adalah dapur dan bilik air. Di kedua-dua ruang ini, orang ramai lebih berwaspada dan peka terhadap bahaya.

Cuba elakkan menyimpan bahan kimia dalam bekas yang kurang sesuai. Contohnya cecair pencuci berwarna cerah disimpan dalam botol air mineral. Kanak-kanak memang mudah tertarik kepada warna yang terang dan menarik.

6. Benda asing tersumbat atau tertelan

Memang sering berlaku kes kanak-kanak yang memasukkan benda asing ke dalam rongga telinga dan hidung, seperti bateri butang (button battery), span, mainan kecil contohnya Lego, duit syiling dan sebagainya.

Lebih berbahaya jika objek itu dimasukkan ke dalam mulut dan tersumbat di salur makanan (esofagus) atau salur pernafasan.

Makanan juga boleh mendatangkan bahaya yang serupa contohnya kacang, cebisan makanan, jeli atau buah-buahan kecil seperti anggur.

Sentiasalah berhati-hati dan berwaspada apabila kanak-kanak terutama yang berusia tiga tahun ke bawah terutama ketika mereka bermain.

7. Jatuh

Apabila si manja mula belajar bergerak sendiri dengan merangkak, berdiri, meniti, berjalan dan memanjat, mereka memang tidak perasan terhadap batasan bahaya.

Walaupun kanak-kanak biasa terjatuh, ibu bapa perlu memberi perhatian terhadap ciri-ciri keselamatan seperti jarak daripada tangga, jarak dari tingkap, jarak dari objek tajam dan mudah pecah.

Alat keselamatan seperti pagar keselamatan tangga (stairs safety gate), dan pelindung penjuru perabot kini mudah didapati dan dalam pelbagai jenis.

–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply