AS kekalkan sekatan kemasukan pengembara antarabangsa

0

Susulan peningkatan kes Covid-19 varian Delta, Amerika Syarikat (AS) mengekalkan sekatan kemasukan pengembara antarabangsa ke negara itu.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Jen Psaki, menegaskan dasar itu kekal meskipun wujud tekanan dalam kalangan negara Eropah, kerana peningkatan kes varian Delta masih membimbangkan.

“Kita akan kekalkan sekatan kemasukan buat masa sekarang kerana varian Delta yang lebih mudah berjangkit kini sedang pantas merebak baik di AS dan serata dunia.

“Trend peningkatan kes coronavirus ini dijangka berterusan untuk beberapa minggu lagi, dengan mereka yang belum divaksin menghadapi risiko tertinggi,” katanya.

AS menyekat kemasukan pengembara dari Kesatuan Eropah (EU), Britain, China dan Iran sejak lebih setahun lalu susulan pandemik Covid-19 dan kemudian menambah negara lain seperti Brazil serta India dalam senarai itu.

Jun lalu, EU mula membenarkan kemasukan pengembara dari AS dan negara lain yang mempunyai pengesahan sudah divaksin atau diuji negatif bagi coronavirus.

Keputusan itu dibuat selepas menerima tekanan daripada Greece, Sepanyol dan Itali yang ekonominya banyak bergantung kepada pelancongan, selepas hampir setahun sektor itu terjejas teruk.

Pemimpin EU meminta AS bertimbang rasa berhubung perkara itu dan Presidennya, Joe Biden, pada 15 Julai lalu berkata ‘keputusan akan dibuat dalam beberapa hari’, selepas mendengar rayuan Canselor Jerman, Angela Merkel.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply