Arab Saudi benarkan ibadah haji terhad pada tahun ini

0

Malaysia menyambut baik pendirian kerajaan Arab Saudi membenarkan pelaksanaan ibadah Haji pada tahun ini (1441 Hijrah) yang terhad kepada rakyat Arab Saudi serta rakyat negara-negara Islam yang sememangnya sudah berada di Arab Saudi.

Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein dalam satu kenyataan berkata, pendirian terbabit disampaikan oleh Menteri Luar Arab Saudi, Yang Mulia Putera Faisal bin Farhan Al Saud menerusi panggilan telefon pada 22 Jun lalu.

Menurut Dato’ Seri Hishamuddin lagi, Malaysia amat menerima baik pendirian kerajaan Arab Saudi kerana ia bukan sahaja menggambarkan kecaknaan Khadimul Haramain al-Sharifain Raja Salman bin Abdulaziz dan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi terhadap umat Islam di seluruh dunia bagi memastikan ibadah ini dapat dilaksanakan dengan selamat berdasarkan perspektif kesihatan umum, malah ia juga bertepatan dengan konsep maqasid syariah iaitu hifz al-nafs iaitu pemeliharaan nyawa.

Dalam hal berkaitan, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut menerima panggilan telefon daripada Tuan Yang Terutama (TYT) Shaikh Abdullatif bin Abdulaziz Aal Al Shaikh, Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Panduan Arab Saudi serta Tuan Yang Terutama (TYT) Shaikh Dr. Muhammad Saleh bin Taher Benten, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi.

Beliau turut dimaklumkan perkara yang sama oleh kedua-dua menteri terbabit.

Berhubung perkara ini, Menteri Luar Negeri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berjanji akan sentiasa berkomunikasi dengan kerajaan Arab Saudi khususnya dengan rakan sejawat masing-masing bagi memastikan rakyat Malaysia yang berada di Arab Saudi diberi keutamaan sekiranya kerajaan Arab Saudi memutuskan untuk membenarkan ibadah haji secara terhad ini.

Kedua-dua menteri berkaitan juga menyeru seluruh umat Islam di Malaysia memanjatkan doa agar wabak COVID-19 segera beransur hilang dari bumi Arab Saudi, Malaysia dan seluruh dunia dan semoga ibadah haji pada tahun hadapan dan tahun-tahun akan datang dapat dijalankan sebagaimana sebelum ini.

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply