“Apabila pimpinan membiarkan unsur gangsterisme terus berleluasa, ini bermakna parti berada di ambang kehancuran” – Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

0

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang dilakukan terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua oleh penyokong parti berkenaan.

Dalam satu kenyataan media Ahli Parlimen Gombak itu berkata Tian Chua merupakan seorang aktivis sosial yang dihormati dan pengasas KEADILAN yang berjasa dalam perjuangan KEADILAN sejak ianya ditubuhkan.

“Serangan terhadap Naib Presiden KEADILAN semata-mata kerana perbedaan pandangan dan pendapat mencerminkan bagaimana parti tersebut telah diseludupi budaya gengsterisme dan keganasan.

“Gejala ini menjadi bukti bagaimana parti yang didirikan dengan tujuan murni untuk membela nasib rakyat telah di-hijack oleh orang yang bertopeng reformasi dan menjadikan agenda mendewakan diktator sebagai teras perjuangan dan pimpinan tertinggi Parti KEADILAN Rakyat hari ini kelihatan alpa terhadap budaya samseng tersebut dan menyimpang jauh dari reformasi membela rakyat.

“Sebuah parti politik yang berlandaskan keadilan dan demokrasi seharusnya menggunakan wacana rasional dan perdebatan yang berasaskan kepada fakta,” ujar beliau.

Menurutnya, apabila sesebuah parti itu telah dirasuk oleh unsur gangsterisme dan pimpinan membiarkannya terus berleluasa, ini bermakna parti tersebut berada di ambang kehancuran.

“Saya menyeru semua pihak untuk menolak budaya gangsterisme dan keganasan dalam politik, sebaliknya kita perlu berusaha menyuburkan semangat berdebat secara rasional dan berunding untuk menyelesaikan masalah,” katanya.

Terdahulu, dalam satu perkongsian video, memperlihatkan ramai yang berkumpul di pintu hadapan Ibu Pejabat PKR dan setelah Tian Chua keluar, penyokong PKR mulai menjerit dan melaungkan ‘pengkhianat’ terhadap Tian Chua.

Insiden yang berlaku di hadapan Ibu Pejabat Parti KEADILAN Rakyat hari ini jelas memaparkan Tian Chua dibaling botol minuman dan ditampar oleh para penyokong PKR yang berang terhadapnya dan berlaku ketika Tian Chua keluar dari ibu pejabat berkenaan tengah hari ini.

Ketika kejadian Tian Chua diiringi polis dan mendapat bantuan dari ahli reformasi namun tindakan Tian Chua keluar kembali dari kenderaan memburukkan keadaan kerana ketika itulah seorang lelaki tampil dan menamparnya.

Dipercayai ianya berhubung ketidakpuasan hati penyokong parti berkenaan kerana Tian Chua dikatakan lebih cenderung kepada kem bekas Timbalan Presiden PKR, Dato’ Seri Mohamed Azmin.

-THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply