Apa sudah jadi Finas? Bagaimana nasib pengkarya dan anak seni?

0

Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) mempersoalkan mengenai status peruntukan RM100 juta daripada kerajaan untuk anak seni yang sehingga kini tiada ‘bayang’.

Presidennya, Ahmad Ibrahim atau Mat London berkata dalam saat genting sebegini, pengkarya seni mengharapkan ada perhatian daripada pihak kerajaan terutamanya Finas.

Tapi nampaknya, Finas bukanlah satu agensi kerajaan yang memikirkan hal kebajikan anak seni, katanya dalam satu kenyataan kepada The Malaya Post.

“Dalam saat genting sebegini, kami mengharapkan ada perhatian daripada pihak kerajaan terutamanya Finas.┬áMereka lebih sibuk mengaturkan kursus dan bengkel dan mencatur siapa yang layak dan tak layak untuk masuk MyCap.

“Hal kebajikan bukan tugas kami kata mereka. Di kala ramai penggiat seni yang terkesan teruk dari segi ekonomi, sudah pastilah mereka tiada masa memikirkan tentang bengkel dan kursus,” katanya.

Dakwa Mat London, Finas tidak memandang kepada kebajikan anak seni.

Sebaliknya badan itu lebih sibuk mengatur kursus, bengkel dan program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCap).

“Bayangkan, bantuan barangan dan agihan daging korban pun Finas hanya beri kepada persatuan di bawah MyCap saja. Itu pun ditaja oleh pihak lain.

“Jadi, agensi mana yang sebenarnya bertanggungjawab memanfaatkan RM100 juta untuk penggiat seni seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri?

“Apakah penggiat seni yang jumlahnya puluhan ribu ini perlu ke Baitulmal atau Jabatan Kebajikan Masyarakat? Mereka ini adalah rakyat negara ini yang sama-sama membangunkan negara menerusi bidang masing-masing,” katanya.

Mat London juga menyarankan agar Finas membuka mata dan menangguhkan terlebih dulu MyCap dalam situasi sekarang.

“Sepatutnya, dalam keadaan sekarang, agensi-agensi kerajaan termasuklah Finas perlu membuka mata dan lebih berinisiatif untuk mendahulukan perkara yang lebih afdal buat masa ini, iaitu kebajikan kepada pekerja seni.

“MyCap kalau penting sangat sekalipun, bolehlah ditangguhkan dulu. Janganlah beri alasan-alasan dangkal kononnya memberi bantuan kebajikan adalah menyalahi peraturan dan akta Finas,” katanya.

Dalam pada itu, Mat London menyeru agar menteri yang bertanggungjawab menaungi Finas agar turun padang dan melihat sendiri kesempitan hidup pekerja seni.

“Kerajaan juga, khususnya menteri yang menjaga Finas, jenguk-jenguklah sikit ke bawah. Jangan main dengar saja laporan daripada pegawai.

“Laporan selalunya cantik molek tetapi tidak menggambarkan situasi sebenar. Kami di persatuan yang saban hari berinteraksi dengan ahli dan juga penggiat seni yang lain lebih mengetahui keadaan sebenar.

“Separah mana keadaan insan seni ini kami lebih mengetahuinya kerana kami juga adalah sebahagian dari mereka yang turut terkesan,” katanya. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa
tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply