Apa kerajaan buat semasa darurat? – Ketua Setiausaha Sulit PM

0

Proklamasi darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi menangani pandemik COVID-19 dalam negara memainkan peranannya sebagai jalan keluar kepada masalah pandemik yang turut memberi kejutan luar biasa kepada ekonomi dunia.

Memberi reaksi lanjut, Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa beberapa tindakan telah diambil oleh kerajaan untuk menangani pandemik dengan lebih berkesan.

“Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat telah dibentuk untuk menyelaras pengurusan darurat di negara ini dan antara fungsi utama jawatankuasa ini ialah memantau isu-isu berkaitan penguatkuasaan darurat, meneliti cadangan pindaan undang-undang tertentu untuk meningkatkan kecekapan pengurusan darurat serta kawalan pandemik COVID-19.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berunding dengan hospital-hospital swasta supaya hospital swasta juga turut menerima pesakit COVID-19 dan sehingga kini, hospital-hospital swasta telah bersetuju untuk menyediakan lebih 1,300 katil termasuk katil wad ICU bagi tujuan merawat pesakit COVID-19.

“Kerajaan sedang menyediakan tempat-tempat yang mencukupi untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara. Selain 605 buah fasiliti sedia ada di bawah Kementerian Kesihatan, Kerajaan memerlukan tambahan sebanyak 500 buah fasiliti awam dan swasta untuk dijadikan PPV,” ujar beliau dalam satu hantaran bertajuk Apa Kerajaan Buat Semasa Darurat di laman media sosialnya.

Menurut beliau, PPV yang mencukupi termasuk di kawasan-kawasan pedalaman penting untuk memastikan vaksin dapat diberikan secara percuma kepada sekurang-kurangnya 25.6 juta orang atau 80 peratus rakyat menjelang Februari 2022 dan sehingga bulan Ogos tahun ini, seramai 9.9 juta orang dijangka menerima suntikan vaksin.

Selain itu, katanya Perdana Menteri telah menurunkan kuasa polis kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain dalam tugasan membanteras Pendatang Asing Tanpa Izim (PATI) yang menjadi antara punca penularan wabak COVID-19 dalam negara.

“Dengan penurunan kuasa ini, anggota tentera boleh membuat tangkapan ke atas PATI, iaitu sesuatu yang mereka tidak boleh lakukan sebelum ini. Anggota tentera juga mempunyai kuasa polis dalam menjalankan tugasan sekatan jalan raya dan lain-lain operasi mencegah wabak COVID-19.

“Kerajaan juga telah mengambil alih secara sementara kem-kem PLKN dan Kem Wawasan untuk dijadikan pusat tahanan sementara dan penjara sementara.

“Tindakan ini dibuat untuk mengurangkan kesesakan di penjara dan depo tahanan PATI yang sebelum ini menjadi punca utama penularan COVID-19 dalam kalangan penghuni. Hasil tindakan ini, kes-kes jangkitan di penjara dan depoh tahanan telah dapat dikawal,” ujar beliau.

Malah, Jawatankuasa Bebas Khas Darurat juga telah dibentuk untuk menasihati Seri Yang di-Pertuan Agong mengenai penerusan darurat atau penamatannya dan jawatankuasa ini turut dianggotai oleh ahli-ahli parlimen pembangkang.

Sehubungan itu, kesan dari langkah yang diambil ini kes harian COVID-19 telah mula menunjukkan penurunan sejak dua minggu yang lalu.

“Kes harian tertinggi dicatatkan pada 29 Januari lalu iaitu 5,725 kes. Mutakhir ini jumlah kes harian adalah sekitar dua ke tiga ribu kes dengan negeri Selangor masih mencatatkan lebih satu ribu kes sehari.

“Negeri Sabah yang dahulu mencatat kes harian empat angka, mutakhir ini telah menurun hingga ke dua angka.

“Ya, masih terlalu awal untuk mengatakan kita telah menang dalam melawan gelombang ketiga COVID-19. Belum lagi. Kes-kes yang dicatatkan masih belum stabil. Adakala naik, adakala turun. Tetapi trend semasa memberikan gambaran bahawa tindakan-tindakan yang sedang diambil oleh kerajaam berpotensi untuk melandaikan lekuk jangkitan COVID-19,” tambahnya.

Namun jika dilihat dari aspek ekonomi, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dilaksanakan kini memberi lebih banyak kelonggaran kepada sektor-sektor ekonomi beroperasi bertujuan memastikan kehidupan ekonomi rakyat tidak terjejas dengan teruk dan kesan ke atas ekonomi negara adalah minima.

“Negara kita dianggar kerugian RM2.4 bilion sehari semasa PKP 1.0 dilaksanakan. Pada masa ini, walaupun hampir semua sektor ekonomi telah dibenarkan beroperasi, negara kita dianggarkan masih lagi mengalami kerugian sekitar RM300 juta sehari kerana pergerakan rakyat masih terhad dan kadar penggunaan (consumption) rakyat masih rendah.

“Mereka yang bergiat dalam sektor informal dan berpendapatan rendah adalah antara yang paling terkesan dengan situasi ini,” kongsinya.

Dalam pada itu, beliau menambah dalam menghadapi situasi ekonomi yang agak sukar pada masa ini, kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat.

“Ini termasuk bayaran tunai one-off Bantuan Prihatin Nasional dengan jumlah keseluruhan RM18.4 bilion yang diterima secara langsung oleh individu yang layak. Ini adalah bantuan tunai terbesar dalam sejarah negara – melebihi peruntukan tahunan untuk BRIM dan BSH – yang pernah disediakan oleh kerajaan.

“Menyedari PKS mikro adalah antara kumpulan yang paling terkesan dengan pandemik ini, kerajaan telah menyalurkan RM2.7 bilion kepada 900,000 PKS mikro di negara ini.

“Secara keseluruhan, kerajaan menyediakan pelbagai pakej rangsangan ekonomi bernilai RM305 bilion untuk membantu rakyat dan memulihkan ekonomi negara,” ulasnya.

Menurut beliau, pendekatan ‘berimbang’ yang diambil oleh kerajaan pada masa ini memperlihatkan kesan ke atas ekonomi negara yang agak terkawal dan pada masa yang sama kadar kematian akibat COVID-19 kekal rendah iaitu kira-kira 0.3 peratus.

“Walaupun kita berasa amat sedih dengan setiap nyawa yang hilang akibat wabak ini, Malaysia adalah antara negara yang mencatatkan kadar kematian yang terendah di dunia.

“Untuk Malaysia terus mara ke hadapan, kita mesti fokus kepada pengurusan pandemik dan ekonomi negara. Inilah yang dilakukan oleh Kerajaan pada masa ini. Ketepikan dahulu soal politik.

“Saya dapat lihat Perdana Menteri mengambil pendekatan yang inklusif, kolektif dan apolitical (tidak berpolitik) dalam mengurus pandemik. Menteri Besar dan Ketua Menteri, termasuk dari negeri-negeri yang bukan ditadbir oleh Perikatan Nasional, dijemput untuk turut serta dalam Sidang Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19,” ungkapnya.

Tambah beliau lagi, Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri bebas memberi pandangan mengenai langkah-langkah yang perlu diambil untuk memperbaiki keadaan di negeri masing-masing, isu-isu berbangkit yang memerlukan penyelesaian segera dan bentuk-bentuk bantuan yang diperlukan setiap negeri.

“Sepanjang pemerhatian saya, tiada perbezaan layanan diberikan terhadap negeri yang ditadbir oleh Perikatan Nasional dan bukan Perikatan Nasional. Semuanya diberikan layanan sama rata baik dalam memberikan pandangan dan mengemukakan permohonan bagi pihak negeri.

“Semua Menteri Besar dan Ketua Menteri juga memberikan pandangan secara profesional. Keputusan yang dibuat langsung tidak mengambil kira faktor politik, tetapi fokus kepada penyelesaian masalah demi kepentingan rakyat. Apabila keputusan dibuat, ianya adalah keputusan kolektif.

“Inilah yang diperlukan pada masa ini. Buat kerja untuk rakyat. Bukan bermain politik,” kata beliau.

Beliau juga yakin dengan pelancaran Pelan Imunisasi Kebangsaan yang bakal dilaksanakan di seluruh negara bermula 21 Februari ini penularan COVID-19 dapat dikawal dan dibendung dengan lebih baik.

“Apabila jangkitan COVID-19 telah dapat dikawal, rakyat akan lebih bebas bergerak dan sektor-sektor ekonomi akan kembali beroperasi dengan lebih rancak.

“Saya percaya, jika semua perancangan berjalan dengan lancar, kita akan mula melihat kesan yang lebih positif ke atas kesihatan rakyat dan ekonomi negara seawal suku ketiga tahun ini. InsyaAllah, ada sinar di hujung terowong buat rakyat Malaysia.

“Sementara itu, istiqamahlah. Keep calm, stay safe,” tulisnya mengakhiri perkongsian. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply