Hampir 12 tahun berkahwin namun tinggal berjauhan, pemain bola Norfarhan & Suhaida kongsi tips kebahagiaan

0

Di sebalik kejayaan seorang suami, ada isteri solehah yang berdiri teguh di belakangnya. Perumpamaan itu sesuai diterjemahkan dengan pasangan romantis bekas pemain bola sepak kebangsaan yang kini menyarung jersi PDRM, Mohd Nor Farhan Muhammad dan isteri Nik Suhaida Megat Deraman.

Bercinta jarak jauh sebelum berkahwin dengan bercinta jarak jauh selepas kahwin sangat beza situasi dan ujiannya.

Lebih-lebih lagi apabila pasangan yang sudah berkahwin dikurniakan cahayamata, namun tinggal berjauhan kerana mencari rezeki pasti mengundang pelbagai permasalahan atau lebih tepat pancarobanya.

Bagi pasangan ini, ia seakan sudah kalis dan apa jua permasalahan serta konfliks perlu dilihat dari sudut positif.

Menurut Nik Suhaida yang lebih mesra dipanggil Kak Nan dikalangan teman-teman, beliau dan suami bercinta jarak jauh selama 9 tahun, sebelum diijabkabulkan pada 26 Januari 2008.

Menyingkap kembali episod percintaan, Nor Farhan ketika itu baharu sahaja menyarung jersi sebagai pemain bola sepak kebangsaan.

“Ketika itu saya melanjutkan pelajaran di Institusi pengajian tinggi di Pulau Pinang, suami pula baharu sahaja direkrut sebagai pemain bola sepak kebangsaan, demi cita-cita kami dan rasa cinta antara satu sama lain, perlu ada toleransi. Minat suami mendalam dengan sukan bola jadi saya bagi sokongan sepenuhnya dan ia juga perlu pengorbanan” katanya ketika temubual eksklusif bersama The Malaya Post.

Mereka dikurniakan dua cahayamata lelaki iaitu Adeel Haqeem 11 tahun dan Adha Redza 6 tahun.

Dan cabaran kini lebih besar tatkala anak-anak membesar suami pula di Kuala Lumpur dan beliau serta anak-anak di Kuala Terengganu.

“Suami saya sangat bertanggungjawab, dalam keadaan sebegini, saya perlu galas tugas ibu dan cuba pula memahami anak-anak lelaki yang sedang meningkat remaja. Untung saya ada ibu mentua dan ibu bapa saya. Namun sebolehnya saya tidak akan susahkan sesiapa. Anak-anak pula sudah terbiasa namun saya perlu memantau rapat aktiviti anak-anak” katanya.

Ketika ditemubual secara eksklusif oleh The Malaya Post Suhaida telah berkongsi tips dan pengalamannya untuk perkongsian bersama.

Soalan : Kak Nan, apa tips untuk pasangan muda PJJ.
.
J : Ok soalan camni buat saya tersenyum dan syahdu di mana hampir 12 tahun berkahwin dan 9 tahun bercinta jarak jauh atau PJJ. Apa itu PJJ..?? Alam kesepian yg penuh dengan pengorbanan katanya penuh makna. Ya saya bukan lah sehebat mana namun pancaroba dan apa sahaja dugaan mengajar saya dan suami. Berikut saya kongsikan tips PJJ berdasarkan pengalaman saya, istimewa buat pasangan muda di luar sana.

1. Bersedia – Kena kuat dari fizikal dan mental. Sentiasa bersedia hadapi segala kemungkinan.

2. Jujur – Melalui kejujuran terbitlah rasa percaya maka kesetiaan pasti milik anda.

3. Toleransi – Selalu mengalah dan bertolak ansur. Jangan terlalu berkira perihal ini tugas siapa.

4. Berdikari – Setkan minda segala hal atau perkara mampu diselesaikan sendiri. Abaikan sikap penat, malas dan malu.

5. Komunikasi – hubungi atau video call setiap masa terluang dan jangan lupa wassap untuk maklum apa yang kita buat, mana kita pergi dan dengan siapa kita berkawan.

6. Masa – Untungnya pasangan PJJ ada masa untuk diri sendiri.Guna ruang masa lapang untuk hobi dan aktiviti baru.

7. Luahan – Ambil kesempatan ini dengan ucapkan rasa rindu atau sayang (nampak kecil tapi boleh beri impak besar pada pasangan).

8. Dating – Sekali-sekala cari waktu yang sesuai berjumpa dengan pasangan tanpa bawa anak-anak.

9. Batasan – Jaga adab dan tingkahlaku. Tahu beza antara baik dan buruk. Hadkan hubungan antara lain jantina.

10.Mengongkong – Jangan bersikap terlalu menghalang kerana kadang-kadang pasangan perlukan ruang privasi sendiri. Berikan peluang untuk dia bergaul tapi biarlah berpada-pada. Sesekali cuba kenali kawan-kawan pasangan.

11.Cemburu – Harus ada apabila `perlu’ mengikut masa, tempat dan keadaan. Percayalah, andai pasangan anda curang pasti ada yang akan memberitahu dan petunjuk dariNya.

12.Memahami – Tenang dan matang hadapi sesuatu yang bakal berlaku berulang kali sebagai contoh hubungi tapi tak ada respon. Bagi peluang untuk pasangan jelaskan. Tak salah kongsi jadual kerja masing-masing.

13.Sokongan – Saling menyokong antara satu sama lain. Berikan kata-kata semangat dan harapan tentang masa hadapan.

14.Hargai – Ingati susah senang yang pernah dilalui bersama. Hargailah pasangan seperti kita selalu `ada’ bersamanya secara halimunan.

15.Doa – Sentiasa percaya pada kuasa doa kerana ajal, jodoh dan rezeki datang dari Yang Maha Esa

Dari kami di The Malaya Post semoga Allah SWT merahmati hubungi kalian hingga ke Jannah.

Leave a Reply