Antara kebimbangan Covid-19 dan ketakutan dibom di Syria

0

Situasi sebenar penularan wabak Covid-19 di utara Syria masih menjadi tanda tanya.

Seminggu selepas pengesahan kes pertama pada Khamis lepas, sehingga Jumaat (17 Julai 2020) jumlah kes positif meningkat kepada 12 kes, pertambahan satu kes berbanding hari sebelumnya.

Manakala jumlah saringan keseluruhan adalah 2,807 orang dan setakat ini tiada kes kematian dilaporkan.

Alhamdulillah, itu sahaja yang boleh diucap kerana keadaan di kawasan utara Syria amat mencabar, siang dan malam adalah pertarungan hidup dan mati.

Tidak banyak sumber untuk mengetahui situasi sebenar perkembangan yang berlaku kecuali bergantung kepada beberapa badan bebas seperti Early Warning Alert and Response Network (EWARN) dan MedicalAidSyria yang digerak Dr. Shajul Islam, sukarelawan perubatan warga Britain di negara itu.

Bukan perkara mudah untuk mendapat data di kawasan seperti utara Syria. Konflik yang berpanjangan menimbulkan pelbagai prejudis dan salah anggap.

Selepas seminggu, tidak sampai 3,000 orang disaring. Selain kekurangan peralatan, ia bukan mudah kerana membabitkan faktor keselamatan

Sewaktu berada di Afrin pada Februari lepas, penulis sendiri dua kali ditahan dalam masa tidak sampai dua jam oleh kumpulan pro Turki kerana membuat rakaman di lokasi.

Sebagai orang Pantai Timur, kata-kata yang yang tepat “mujur” kerana tidak pernah dikasari sebagaimana pengalaman disoal siasat pihak berkuasa Mesir ketika membuat liputan di Dataran Tahrir pada 2011.

Ditangkap, dibebas, dicekup semula dan dilepas. Cukup tiga kali keluar masuk balai, kali ketiga kami cabut lari. Namun, di mana-mana, prosesnya benar-benar menguji iman dan kesabaran.

Sewaktu dibawa ke balai, kami disoal siasat dan diselongkar semua gambar dalam telefon bimbit. Ketika ini mustahaknya menyimpan mesej yang penting dalam Bahasa Melayu.

Paling melucukan kami ditahan pada kali kedua kerana mengambil gambar kuali yang menggoreng falafel di Jandares, di pinggir bandar Afrin. Itupun, dianggap satu ancaman keselamatan!

Pengalaman bergerak dari Afrin ke Atma walaupun jaraknya dalam 40 kilometer mengambil masa hampir dua jam. Banyak sekali pusat pemeriksaan. Ini bukan fenomena tetapi realiti.

Kewujudan berpuluh kumpulan bersenjata yang berbeza di utara Syria antara ancaman kepada para petugas kemanusiaan bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan.

Sekatan yang ada memperlahankan pergerakan. Silap cara, nyawa jadi taruhan dan boleh melayang.

Situasi ini yang perlu ditempuh dan menjadi halangan asas yang membantutkan usaha untuk mendapat maklumat jelas mengenai penularan Covid-19 di kawasan berkenaan.

Itu belum dikira lokasi kem pelarian yang berselerak di lembah dan gunung. Hakikatnya, cabaran tidak pernah berpenghujung di sini.

Dalam keadaan cuaca yang membahang dengan gelombang panas melepasi 47 selsius, para petugas yang melakukan sanitasi terpaksa mengenakan sut peralatan perlindungan diri (PPE) bagi mengelak terkena jangkitan virus.

Ia ibarat sauna bergerak dan boleh menyebabkan petugas kena strok haba jika memakainya dalam tempoh yang lama.

Pengalaman yang sama dilalui penulis tahun lalu ketika melakukan tugasan Qurban4Syria 7.0 oleh Syria Care di Atma yang terpaksa menempuh cuaca panas mencecah 41 selsius.

Dalam berseluar jeans dengan kemeja T sudah terasa sengsara, bayangkan azab yang ditanggung para petugas hadapan di Syria. Mereka telah lakukan yang termampu kerana segalanya terbatas di sini.

Ketika artikel ini ditulis, satu berita duka diterima. Abu Ahmad atau Mohamad Moussa, insan yang mengiringi saya masuk ke Afrin, Syria dari Gazientep, Turki pada Februari lalu, disahkan positif Covid-19.

Dalam keadaan yang benar-benar teruji, saya mampu katakan dia mempunyai peluang besar untuk sembuh kerana saat ini mendapat rawatan di Turki. Paling tidak mendapat rawatan yang sempurna berbanding di tanah air sendiri.

Ketika terpaksa berdepan dengan ancaman yang tidak nampak dengan mata kasar, jutaan pelarian di utara Syria terpaksa berdepan dengan kekejaman rejim Bashar al Assad yang sedikitpun tidak bersimpati. Serangan tetap dilakukan.

Dalam pengeboman ke atas Al Bab pada 15 Julai lepas, seorang maut dan 15 lagi cedera.

Inilah Syria….Kisah benar rakyat yang dibunuh pemimpin sendiri.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply