Ang San Suu Kyi tidak mahu menyebut perkataan Rohingya dan menganggap etnik berkenaan tidak wujud

0

Presiden Myanmar, Ang San Suu Kyi yang dulunya digelar sebagai ikon demokrasi Myanmar kini dihadapkan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tuduhan pembunuhan beramai-ramai terhadap minoriti Muslim Rohingya.

Perkara ini telah dibuktikan oleh siasatan agensi dunia termasuk PBB sebagai penjenayah ke atas kemanusiaan.

Berkaitan isu ini, ramai pihak mengecam sikap tidak berperikemanusiaan Ang San Suu Kyi yang mewakili tentera Myanmar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa ( ICJ ) di the Hague, Belanda.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamud berkata sebelum ini telah terbukti bahawa tentera Myanmar telah melakukan jenayah genosid ke atas etnik Rohingya.

“Namun dalam pembentangan pembelaan di mahkamah tersebut tidak sekalipun Ang San Suu Kyi bercakap mengenai Rohingya.

“Malah dalam pembentangan pembelaannya di mahkamah tersebut tidak sekalipun dia mahu menyebut perkataan Rohingya dan menganggap etnik berkenaan tidak memiliki nama, tidak mempunyai kewarganegaraan serta tidak wujud.

“Sikap beliau berdiri di hadapan 17 orang hakim mahkamah ICJ itu telah mendedahkan peribadinya yang sebenar iaitu dia adalah seorang yang tidak berhati perut dan bersikap hipokrit tahap tinggi,” ujarnya.

Mohd Azmi turut menambah, Ang San Suu Kyi adalah pengkhianat kepada demokrasi malah seorang agen yang bersekongkol dengan penjenayah tentera yang paling zalim.

“Peliknya dia pernah dihukum tahanan rumah oleh tentera junta Burma itu sendiri antara 15 hingga 21 tahun dari 1989 hingga 2010.

“Suaranya yang tegas untuk menegakkan demokrasi dan hak manusia di Burma ketika itu menyebabkan beliau disanjungi oleh dunia terutama Barat sehingga dianugerah 9 hadiah antarabangsa termasuk Anugerah Keamanan Nobel pada 1991.

“Kini di hadapan mahkamah tertinggi dunia, sepatah perkataan Rohingya pun tidak diungkapnya.

“Padahal maudhu’ utama perbicaraan yang dibawa oleh Gambia yang mewakili OIC ialah menuntut agar ICJ menghukum Myanmar melakukan jenayah genosid ke atas etnik Rohingya,” jelas Presiden MAPIM dengan lebih lanjut.

Tambahnya, sehingga ini Presiden Ang San Suu Kyi masih memekakkan telinga dan membutakan matanya terhadap perlakuan barbarik tentera Myanmar bersama puak militan dan teroris Buddhis di negara itu.

Kezaliman ke atas etnik Rohingya itu dianggap PBB sebagai etnik paling tertindas didunia lebih-lebih lagi dalam alaf kemodenan ini.

Berikutan perkara yang terjadi, terdapat jutaan yang diusir, ribuan yang dirogol, dibunuh, ditangkap dan diseksa, kanak-kanak dibunuh dengan kejam, dihumban kedalam api, mayat dicincang, rumah dan perkampungan dibakar adalah antara gambaran dari testimoni yang dikisahkan oleh ribuan mangsa keganasan dan kezaliman tentera Myanmar.

“Malangnya beliau menganggap semua laporan ini tidak wujud.

“Alasan beliau ialah alasan yang beliau terima dari penjenayah tentera sendiri iaitu untuk menjaga keamanan Myanmar.

“Tiba-tiba beliau berhujah tindakan tentera itu betul kerana mahu menghapuskan kononnya teroris,” tambah Mohd Azmi.

Mohd Azmi yang mengutuk keras pendirian beliau yang kini cuba menggambarkan bahawa operasi tentera Myanmar yang melakukan kekerasan keatas etnik Rohingya selama ini adalah betul dan punya justifikasi turut mendesak agar ICJ bertegas menghukum Myanmar sebagai negara penjenayah dan mengarahkan semua pelanggaran hak manusia serta jenayah genosid Myanmar dihentikan serta merta.

Malah katanya, penderitaan etnik Rohingya sudah terlalu lama serta terhutang kepada jutaan mangsa Rohingya berhak mendapat keadilan dan hidup bermaruah.

Menurutnya lagi etnik Rohingya memiliki identiti, bahasa, tamadun, dan tanah air mereka sendiri iaitu Arakan yang dirampas oleh Burma.

“Ang San Suu Kyi tidak layak bercakap soal demokrasi dan keamanan lagi.

“Beliau kini adalah lambang penzalim yang perlu didedah kepada dunia dan semua gelaran dan anugerah yang diberi kepada beliau perlu dicabut dan digugurkan,” tambahnya.

Leave a Reply