Anak Shahrukh Khan antara 8 yang dicekup

0

Anak sulung pelakon ternama Bollywood, Shah Rukh Khan dicekup dalam satu serbuan yang dilakukan di sebuah kapal persiaran oleh Biro Kawalan Narkotik (NCB) pada 2 Oktober lalu.

Memetik laporan media negara itu, India Today, Aryan Khan, 23 tahun bersama tujuh yang lain telah ditahan untuk membantu siasatan penyalahgunaan dadah.

Menurut pegawai NCB, pada awalnya pasukannya telah menaiki kapal berkenaan menuju ke Goa dan menyamar sebagai penumpang.

“Pesta bermula setelah kapal itu meninggalkan Mumbai dan berada di laut.

“Serbuan bermula pada pukul 10 pagi dan berterusan sehingga jam 2 petang.

“Semasa operasi, suspek telah diiperiksa dan digeledah.

“Hasilnya, pelbagai jenis ubat telah ditemui yang disembunyikan dalam pakaian, seluar dalam dan beg tangan mereka.

“Antaranya ialah Ecstasy, Cocaine, MD (Mephedrone) dan Charas”, kata seorang pegawai NCB kepada agensi berita PTI.

Menurut pihak NCB, tuduhan yang dikenakan terhadap Aryan termasuklah pembelian, pemilikan dan penggunaan bahan terlarang.

Dia ditahan dan dihadapkan ke mahkamah pada Ahad petang dan direman hingga hari ini.

Selain itu, telefon bimbitnya turut dirampas.

Dilaporkan Aryan akan dibawa untuk menjalani pemeriksaan perubatan.

Pada petang 3 Oktober, anak muda lulusan Universiti Of Southern California ini dilihat di pejabat NCB dengan mengenakan t shirt lengan panjang, seluar denim, bertopi dan memakai topeng.

“Aryan tidak mempunyai tiket, tidak ada kabin atau tempat duduk di kapal pesiaran. Dia bahkan tidak mempunyai boarding pass. Tidak ada yang dijumpai padanya.

“Dia ada di sana kerana dia telah dijemput”, kata Peguam Aryan, Satish Maneshinde.

Selain Aryan Khan, NCB telah mengeluarkan nama tujuh orang yang ditahan untuk disoal siasat dari kapal.

Mereka ialah Munmun Dhamecha, Nupur Sarika, Ismeet Singh, Mohak Jaswal, Vikrant Chhoker, Gomit Chopra, Saudagar Arbaaz.

Dalam pada itu, syarikat pelayaran Cordelia Cruises dalam kenyataannya pada hari Ahad mengatakan bahawa mereka tidak ada kaitan dengan kejadian itu secara langsung atau tidak langsung.

“Cordelia Cruises telah menyewakan kapalnya untuk acara peribadi kepada sebuah syarikat pengurusan acara yang berpusat di Delhi.

“Kami di Cordelia Cruises mengecam semua tindakan seperti ini dan dengan tegas tidak akan membiarkan ia berlaku lagi pada masa depan.

“Cordelia Cruises memberikan sokongan penuh dan bekerjasama dengan pihak berkuasa,” demikian memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden, Jurgen Bailom, Waterways Leisure Tourism Pvt Ltd.

Dilaporkan Shah Rukh Khan dilihat meninggalkan rumahnya dan menuju ke pejabat peguamnya sejurus sebelum penangkapan itu disahkan.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

 

Leave a Reply