Allahyarham Dato’ Sir Onn Jaafar, pelopor perjuangan kemerdekaan Malaysia

0

Hari ini, 19 Januari 2020, genaplah 58 tahun pemergian Allahyarham Dato’ Sir Onn Jaafar.

Allahyarham adalah pengasas Parti UMNO dan merupakan Presiden UMNO yang pertama.

Memetik kenyataan cucunda kepada Allahyarham yang juga bekas Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein di facebook mengakui sangat kagum dengan ketokohan Allahyarham.

Genap 58 tahun pemergian datuk saya, Allahyarham Onn Jaafar. Ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir, usia saya…

Dikirim oleh Hishammuddin Hussein pada Minggu, 19 Januari 2020

“Genap 58 tahun pemergian datuk saya, Allahyarham Onn Jaafar. Ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir, usia saya baru beberapa bulan. Namun, melalui penceritaan ahli keluarga terutama Allahyarham ayahanda saya, Tun Hussein Onn serta menerusi pelbagai coretan sejarah mengenai Onn Jaafar, saya cucu yang amat kagum dengan ketokohan beliau”, katanya.

Tambah Dato’ Seri Hishammuddin, sehingga hari ini, beliau mengingatkan diri sendiri untuk berjuang yang terbaik demi meneruskan legasi yang ditinggalkan Allahyarham.

“Sehingga hari ini, saya sentiasa ingatkan diri untuk berjuang yang terbaik demi meneruskan legasi yang ditinggalkan Allahyarham, terutama memastikan UMNO yang beliau tubuhkan, terus istiqamah membela agama, bangsa dan negara. Begitu juga kecintaan beliau terhadap perpaduan, ini akan tetap saya perjuangkan hingga akhir hayat saya.

“Doa saya serta seluruh ahli keluarga, semoga Allahyarham damai di Sana dan segala amalan kebaikannya diterima disisi Allah SWT. Al-Fatihah”, tulisnya difacebook.

Allahyarham Dato’ Sir Onn, dilahirkan di Bukit Gambir, Johor.

Beliau adalah anakanda kepada Datuk Jaafar bin Haji Muhammad, Menteri Besar Johor yang pertama.

Allahyarham adalah kerabat diraja Johor, beliau dipelihara oleh Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar sejak kecil, dan mendapat pendidikan Melayu sebelum melanjutkan pelajarannya di England.

Memetik laporan media, Allahyarham pernah bekerja sebagai wartawan pada tahun 1930 ketika berumur 35 tahun, dan pada tahun 1934, menjadi pengarang Lembaga Malaya dan Harian Lembaga.

Rencana tulisan Allahyarham sering mengkritik masyarakat Melayu dan mendesak agar perubahan dilakukan.

Antara usaha-usaha Allahyarham Dato’ Onn untuk mengembalikan kedudukan orang-orang Melayu, beliau telah mengemukakan cadangan supaya keahlian UMNO dibuka kepada lain-lain bangsa tetapi mendapat tentangan di kalangan Majlis Mesyuarat Agung UMNO disebabkan oleh suasana Kebangsaan Melayu ketika itu tidak sanggup menerima perubahan radikal seperti itu.

Hasrat dan cita-cita Allahyarham untuk memartabatkan bangsa melayu diteruskan dengan pelbagai cadangan dan tindakan.

Pemerhatian yang dibuat oleh Allahyarham Dato’ Onn ada dinyatakan di dalam ucapannya.

“Layanan yang berat sebelah itu pula tidak terhad kepada pegawai-pegawai British sahaja tetapi diluaskan kepada tiap-tiap orang Eropah di dalam pekerjaan Kerajaan. Di dalam soal gaji, rumah-rumah kediaman dan di dalam berbagai-bagai cara lain lagi terdapat layanan yang sama itu diketepikan. Apa yang melukakan hati saya ialah hakikat bahawa hinggakan pegawai-pegawai kanan Melayu yang berada di dalam perkhidmatan awam itu telah tertolak ke bawah oleh satu dasar yang menjadi dasar untuk memajukan pentadbir-pentadbir bagi jawatan yang lebih tinggi itu.” – Allahyarham Dato’ Sir Onn Jaafar.

Dalam persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam pada 25 dan 26 ogos Allahyarham Dato’ Onn melepaskan jawatan sebagai Yang DiPertua UMNO disebabkan oleh tentangan tersebut.

Pelbagai tafsiran boleh diberi terhadap syor-syor Allahyarham Dato’ Onn dan ia sendiri pernah dituduh sebagai tidak berkepentingan Melayu.

Sebenarnya Allahyarham Dato’ Onn telah mendahului zamannya, orang-orang melayu masih tidak dapat bersetuju UMNO menerima keahlian semua kaum sahaja.

Begitu juga kelonggaran dalam syarat-syarat kerakyatan untuk kaum-kaum lain masih belum dapat diterima walaupun kemudiannya dan dalam penggubalan perlembagaan Malaya Merdeka syarat-syarat lebih longgar diberi keada kaum-kaum lain.

Malah UMNO sendiri sebelum Merdeka telah bekerjasama dengan kaum-kaum lain melalui parti Perikatan yang bagaimanapun mengekalkan identiti parti-parti di dalamnya.

Allahyarham Dato’ Onn yang telah dilantik oleh Kerajaan British sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah dapat melihat dari dalam masalah-masalah pentadbiran dan politik negara.

Mungkin kerana itu, merasakan perlu kerjasama secara lebih rapat dengan kaum-kaum lain dan mempercayai bahawa bimbingan dari British adalah perlu bagi memajukan orang-orang melayu sebelum mencapai kemerdekaan.

Ironinya, Allahyarham Dato’ Onn bukan sahaja teraju negara apabila tanahair ini merdeka pada 1957, tetapi beliau meninggalkan pengaruh dan pemikirannya sebagai warisan kepada bangsa.

Walaupun Allahyarham Dato’ Onn dalam sejarah politiknya keluar dari Umno, pernah menubuhkan dua parti lain, menjadi pembangkang dalam dewan perwakilan, tetapi inti perjuangannya terpahat dengan teguh.

Laungan perjuangan Hidup Melayu yang dicetuskannya berpuluh tahun lalu, tidak sekadar satu slogan, tetapi sarat dengan isi perjuangan membela kedudukan Raja-Raja, agama, bahasa, kebudayaan, pendidikan, ekonomi dan hak-hak istimewa orang Melayu.

Yang pasti kesejahteraan negara tidak datang bergolek. Terlampau banyak pengorbanan dan jasa-jasa yang ditabur pemimpin terdahulu demi kemakmuran bangsa, agama dan negara.

Semoga Allah SWT mengampuni dosa-dosa dan mengangkat martabat Allahyarham Dato Sir Onn disisi hamba-hamba yang soleh.  –THE MALAYA POST

Al Fatihah dari kami The Malaya Post

*SubcribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply