Aliran TVET dorong usahawan muda ceburi bidang revolusi industri 4.0

0

KUALA LUMPUR : Dorongan pensyarah yang percaya pada dirinya menjadi kekuatan bagi bekas pelajar program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Alston Kuhan Benedict, 22 tahun menubuhkan sebuah syarikat kejuruteraan elektrik ketika beliau sedang melanjutkan pengajian di Kolej Komuniti Bukit Beruang, Melaka hampir lima tahun dahulu.

Berdepan dengan kata-kata negatif masyarakat yang tidak yakin dengan impiannya untuk memiliki syarikat sendiri di usia muda, telahan mereka terbukti salah apabila Alston berjaya menubuhkan syarikat Pro Electric Dynamic Services pada usia 18 tahun.

Sudah biasa hidup berdikari dengan mencari duit poket sendiri sejak berumur 14 tahun, anak muda kelahiran Melaka ini berkata dia tekad untuk melanjutkan pelajaran di kolej komuniti bagi sijil teknologi elektrik selepas tamat pengajian sekolah menengah.

Alston Kuhan Benedict / Graduan TVET

Alston berpendapat anak tempatan sepatutnya menerajui industri itu dan bukannya warga asing kerana ia dikhuatiri akan menjurus kepada kegagalan untuk Malaysia berdiri megah bersama negara-negara maju.

Menyedari revolusi industri 4.0 (IR 4.0) merupakan elemen penting dalam dunia pekerjaan kini, Alston percaya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) boleh setaraf dengan negara-negara maju sekiranya Malaysia menggalakkan penglibatan lebih ramai anak muda tempatan dalam IR 4.0.

“Nasihat saya, untuk mereka yang ingin melanjutkan pelajaran di institusi TVET, teruskan lah. Kerja keras dan saya pasti anda akan berjaya. Jangan malu untuk belajar. Jangan malu untuk bertanya. Carilah mentor kerana kalau tiada mentor, kita tidak nampak dengan jelas hala tuju yang kita mahukan,” katanya ketika dihubungi The Malaya Post.

Meneruskan ceritanya, Alston berkata, dalam semester pertamanya di kolej, minat dalam bidang keusahawanan mula timbul setelah mengambil subjek keusahawan digital.

“Hati saya mula terdetik untuk buka syarikat dan pensyarah saya ketika itu juga beri dorongan kerana dia tahu saya sering melakukan kerja-kerja luar. Kolej komuniti juga amat membantu mendewasakan saya, membuka mata saya untuk melihat potensi keusahawanan digital yang seterusnya mendorong saya untuk menjadi seorang usahawan muda.

“Prinsip saya untuk berjaya, kalau kita mahu buat sesuatu, mestilah ‘all out’. Maknanya, apabila lakukan sesuatu, jangan letak satu kaki sahaja untuk berjaya, satu kaki lagi tak nak berjaya. Kedua-dua kaki harus mengorak langkah bersama,” ujarnya yang menjadikan pensyarahnya sebagai mentor.

Sementara itu, mengulas mengenai IR 4.0 di institusi TVET, Pemangku Ketua Pengarah, JPPKK (Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti), Mohamad Amin Hamat memaklumkan terkini, politeknik dan kolej komuniti melancarkan inisiatif ‘4IR Flagship’ sebagai medan percubaan dalam bentuk projek bagi mengaplikasikan teknologi IR 4.0.

Beliau menambah bermula tahun ini, Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang, Perak dan Kolej Komuniti Selayang, Selangor dipilih sebagai pelopor masing-masing dalam bidang Autonomous Vehicle dan I- Entertainment.

“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengorak langkah untuk menerima teknologi baru seperti IR 4.0 melalui intervensi kurikulum dan ko-kurikulum.

“Program yang ditawarkan oleh politeknik Malaysia seperti Diploma Keselamatan Siber (Cyber Security) dan Diploma Digital Teknologi merupakan antara program-program yang menerajui teknologi 4IR. Di samping itu elemen-elemen IR 4.0 seperti IOT diterapkan dalam kurikulum sedia ada sebagai modul elektif.

“Pelajar-pelajar juga didedahkan kepada teknologi 4IR melalui aktiviti ko-kurikulum seperti pertandingan Robo Soccer World Cup. Kreativiti pelajar juga dipupuk melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan di Technology Enabled Collaborative Classroom (TECC) di politeknik serta Maker Market di Kolej Komuniti yang berkonsepkan makerspace,” katanya kepada wartawan The Malaya Post.

Kejayaan di insitusi TVET dalam mengadaptasi kepakaran teknologi dapat dilihat menerusi pertandingan Cidos Inspiring Learning Awards (eDOLA) 2020 yang berlangsung secara dalam talian baru-baru ini, yang menyaksikan Politeknik Merlimau (PMM) apabila berjaya menggondol kejuaraan utama iaitu juara keseluruhan pertandingan itu.

Menurut Pengarah PMM, Mohd Hatta Zainal, eDOLA 2020 merupakan sebuah pertandingan tahunan anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti bagi memberi pengiktirafan kepada pensyarah dan pelajarnya dalam menunjukkan kepakaran pembangunan bahan dan penggunaan teknologi untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu, PMM turut menjadi antara yang diangkat sebagai pemenang sempena National Energy Award 2020 pada kali ini yang diumumkan secara dalam talian oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

Anugerah itu menerima 110 penyertaan dan PMM berjaya memperoleh anugerah khas bagi kategori Energy Performance Contracting (EPC) yang telah menewaskan para pencabar lain. –THE MALAYA POST

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply