Aktiviti merentas negeri untuk pulang menyambut Hari Raya mungkin tidak dibenarkan – Ismail Sabri

0

Aktiviti merentas negeri untuk pulang menyambut Hari Raya di kampung sempena perayaan Aidilfitri mungkin tidak dibenarkan.

Demikian kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam temubual khas sebuah portal berita di Bera, Pahang.

Susulan itu, Datuk Seri Ismail Sabri berharap rakyat akur dengan arahan kerajaan sekiranya mereka tidak dibenarkan melakukan perjalanan merentas negeri pada musim perayaan Aidilfitri nanti.

Tambah beliau, keputusan larangan itu sekiranya dibuat adalah untuk melindungi nyawa rakyat daripada dijangkiti wabak Covid-19.

“Saya nasihatkan kepada warga kita yang ingin balik kampung, saya faham kalau saya pun boleh menangis juga rindukan mak walaupun sudah tua.

“Saya faham dua tahun tak jumpa mak, cucu tak jumpa datuk…nenek, anak tak jumpa bapa, tapi kita melihat apa yang dilakukan kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) adalah untuk melindungi nyawa kita semua,” katanya menerusi temu bual khas bersama sebuah portal berita di Bera, Pahang, hari ini.

Ujar beliau, dalam tempoh lima bulan lalu sebanyak 42 kluster COVID-19 dikesan adalah berpunca daripada perjalanan rentas negeri sehingga menyebabkan lebih 5,800 individu dilaporkan positif.

Malah, beliau berkata pada bulan April sahaja sebanyak 11 kluster dikesan dengan dua negeri paling terkesan akibat rentas negeri ialah Kelantan dan Sarawak.

“Kelantan paling klasik dari hijau seluruh daerah tiba-tiba menjadi merah kesemuanya, manakala Sarawak pula ada seorang yang bekerja di kilang elektronik di Johor balik ke Sarawak menjangkiti lebih 2,600 orang dan menyebabkan 29 kematian”, katanya.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply