Friday, April 16, 2021
Home BERITA HIBURAN Rockology Malaysian Tour 2021 : Akim anggota baru Search ?

Rockology Malaysian Tour 2021 : Akim anggota baru Search ?

0
Setelah cubaan untuk mementaskan konsert Apologia Search dan Awie pada tahun lalu gagal akibat pandemik Covid-19, Search kembali membuat kejutan baharu dengan menjemput Akim sebagai vokalis undangan dalam siri pertama Rockology Malaysian Tour 2021 Waronk Avenue, Bandar Melaka 
Ia akan berlangsung pada 10 April 2021 bertempat di Waronk Avenue, Bandar Melaka.

Biarpun tanpa kehadiran Amy yang dianggap antara tunjang utama kumpulan itu, namun nama dan legasi Search tidak pernah mati.

Barisan anggota kali ini akan melibatkan Kid dan Din di posisi gitar, Pae sebagai pemain dram, Galang sebagai pemain bass dan Akim sebagai penyanyi utama.

Memetik laporan Musicaddicts.my ketiadaan Nasir selaku pemain bass Search pada persembahan ini adalah disebabkan dia sedang sibuk menguruskan perniagaan baharu. Dia hanya akan terlibat pada persembahan akan datang.

Din yang mewakili Search berkata, dia berharap peminat akan terus menerima kehadiran dan memberikan sokongan pada setiap persembahan membabitkan Search selepas ini.

“Muzik adalah kerjaya dan minat saya. Kami nak pengakhiran yang baik. Jadi, walaupun tanpa adanya Abang Amy, kami akan terus menggerakkan Search. Kami sayang band ini. Ke mana saja pergi orang tanya mengenai Search.

“Jadi, ini persembahan Rockology Malaysian Tour 2021 Search X Akim ini bagi mengubat rindu peminat. Persembahan ini sangat penting, kerana ia permulaan buat Search kembali. Harapan saya peminat boleh terima kami walaupun tanpa Abang Amy dan Nasir.

“Bagi saya, Abang Amy tak ada ganti. Cuma, saya perlu move on untuk teruskan legasi Search. Sebab peminat masih ada dan saya yakin dengan sokongan diberikan selama ini,” katanya.

Ditanya mengenai pemilihan Akim yang juga vokalis kumpulan Akim & The Majistret, Din berkata pemilihan dibuat bersama pasukan produksi.

“Kami terlebih dahulu buat perbincangan dengan pasukan produksi. Ada beberapa nama yang disenarai pendek. Selepas penilaian, suara ramai memilih Akim. Ini bukan penilaian saya seorang.

“Cuma, kalau ditanya secara peribadi, pilihan pertama saya adalah Akim. Bagi saya, dia ada karisma tersendiri selain kredibiliti dimiliki yang mana dia boleh buat lagu. Pendek kata dia ada pakej. Jadi, beri dia peluang untuk buat persembahan bersama kami. Cuma, jangan bandingkan dengan Amy,” katanya.

Sementara itu, Akim berkata, dia teruja dan tidak sabar untuk membuat persembahan bersama band legenda itu.

“Saya terharu dan teruja apabila dipilih untuk bersama-sama menjayakan persembahan ini. Diakui, Search memang idola saya dari dahulu lagi. Apabila dapat menyanyi dan buat persembahan bersama, ia satu penghargaan buat saya.

“Insya Allah, saya akan cuba berikan yang terbaik. Kepada semua peminat Search jangan lupa saksikan persembahan kami dan tunjukkan tanda sokongan ada buat kami,” katanya.

Bagi penganjur Playmad Sdn Bhd, Abdul Rasyid Rahman atau dikenali sebagai Acid, persembahan itu sesuatu yang istimewa biarpun dirancang dalam tempoh yang singkat.

“Idea untuk membuat persembahan ini tercetus selepas saya menonton temu bual DJ Isma Halil Hmazah bersama Abang Din dari Search secara langsung di Facebook. Berdasarkan sambutan diberikan, saya yakin Search masih ada aura tersendiri.

“Jadi, saya terus menghubungi Abang Din untuk mengajaknya datang ke Melaka bagi mendengar cadangan saya. Malah, saya membawanya untuk melihat ruang acara di Waronk Avenue.

“Alhamdulillah, perbincangan bersama Search selesai dan mereka bersetuju. Selepas berbincang dengan anggota Search yang lain, Abang Din menghubungi pihak pengurusan Akim untuk mendapatkan khidmat Akim sebagai penyanyi bagi menjayakan persembagan ini. Alhamdulillah, respons yang baik diterima daripada pihak Akim,” katanya.

Menurut Acid, jawapan persetujuan yang diberikan Akim membuatkan pihaknya teruja dalam menjayakan persembahan itu.

Lokasi persembahan tersebut boleh memuatkan 100 penonton berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Tiket dijual pada harga RM100 dan pembeli tiket berpeluang untuk menghadiri sesi ‘meet & greet’ pada 10 April, jam 5.30 petang.

 

Leave a Reply