Aiman Sidek muncul kembali dengan single terbaru, ‘Pria Arjuna’

0

Mesti ramai yang minat dan masih mengingati lagu popular, Bunga Dhia yang menjadi lagu runut bunyi drama Hati Perempuan bersiaran menerusi slot Akasia TV3.

Penyanyi dan komposer lagu berkenaan, Aiman Sidek atau Mohamad Aiman Md Sidek kini muncul kembali dengan mempertaruhkan sebuah lagu baru, Pria Arjuna.

Aiman yang memulakan langkah dalam industri muzik tempatan selepas muncul sebagai naib juara program Akademi Nasyid di TV9 pada 2008 berkata selepas lagu Bunga Dhia, Pria Arjuna merupakan taruhan terbaru darinya.

Aiman ketika ditemubual secara eksklusif The Malaya Post memberitahu lagu Pria Arjuna menceritakan tentang lahirnya seorang lelaki adalah untuk membahagiakan insan yang hampir dengannya dan hidup yang penuh berkasih sayang.

“Terhasilnya lagu ini merupakan melalui perspektif diri sendiri, malah lagu ni adalah mengenai kelahiran anak lelaki saya yang kini berusia tujuh bulan.

“Lagu ini mula diterbitkan pada 26 januari 2020, malah setiap susun atur muzik, melodi serta setiap bait lirik lagu dan nyanyian sepenuhnya dari saya sendiri, ujarnya kepada wartawan The Malaya Post.

Penyanyi kelahiran Terengganu ini juga berharap Pria Arjuna akan mendapat sambutan baik dari para pendengar dan berharap agar lagu bergenre balada ini diterima ramai sepertimana lagu Cinta Terakhir dan Bunga Dhia.

Pria Arjuna bakal diedarkan di bawah naungan AJ MUSIC dan muzik video dijangka akan berada di platform digital pada bulan Februari atau Mac.

Aiman yang kini berusia 31 tahun mengakui walaupun sudah sebelas tahun berada dalam industri hiburan namun masih belum dikenali ramai kerana sibuk menguruskan perniagaan dan fokus terhadap urusan peribadi serta keluarga.

Untuk rekod, Aiman telah berkahwin dengan bekas wartawan penyiaran TV3, Nurul Mardiana Abdul Alim pada 30 Ogos 2013 dan kini dikurniakan dua cahaya mata, Dhia Adriana dan Mohamad Arjuna Asyaar. –THE MALAYA POST

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel
Untuk perkembangan berita dan isu semasa
tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply