Ahli Parlimen BERSATU terus sokong Tan Sri Muhyiddin Yassin terajui negara – Timbalan Presiden BERSATU

0

Kesemua Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus menerajui negara.

Dengan menaruh keyakinan penuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri yang telah membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat dan menjana semula ekonomi negara kesan akibat penularan pandemik COVID-19.

Pendirian terbabit disuarakan oleh Timbalan Presiden BERSATU, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu yang turut menyeru ahli-ahli Parlimen BERSATU kekal bertenang dan terus memberi sokongan kepada Perdana Menteri.

Dalam satu kenyataan media, beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun menyatakan ahli-ahli Parlimen BERSATU menyifatkan dakwaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu adalah satu gimik politik.

“Ia dilihat tidak lebih daripada percubaan untuk mengkucar-kacirkan kepimpinan negara tatkala rakyat semakin yakin dengan kepimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin untuk menyelamatkan negara daripada krisis kesihatan dan krisis ekonomi susulan penularan pandemik COVID-19.

“Sekiranya YB Dato’ Seri Anwar benar-benar mempunyai sokongan majoriti, beliau seharusnya membuktikan dakwaan itu menurut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Tindakan beliau semalam dilihat seolah-olah cuba mensabotaj ekonomi negara dengan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap kestabilan kerajaan, apabila kenyataan beliau dilaporkan oleh media antarabangsa,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan tindakan Ketua Pembangkang terbabit memberi kesan buruk kepada ekonomi negara tatkala kerajaan sedang memberi tumpuan dalam menyalurkan bantuan bagi meringankan beban rakyat serta membantu komuniti perniagaan untuk terus kekal berdaya saing dalam tempoh yang amat mencabar ini.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply