Agong, Permaisuri berkenan ke Majlis Menghadap Perpisahan Duta Besar Indonesia

0

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Menghadap Perpisahan Duta Besar Indonesia, TYT Rusdi Kirana serta isteri, Lesien Rusdi Kirana di Istana Negara.

TYT Rusdi Kirana secara rasmi telah berkhidmat sebagai Duta Besar Republik Indonesia di Malaysia yang ke-16 pada 17 Ogos 2017.

Beliau bakal menamatkan penempatannya di Malaysia dan dijangka pulang ke Indonesia pada 9 Julai nanti.

Al-Sultan Abdullah amat menghargai peranan yang dimainkan oleh TYT Rusdi Kirana sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Duta Besar Republik Indonesia di Malaysia khususnya semasa Lawatan Negara Seri Paduka Baginda berdua ke Jakarta dan Jogjakarta, Indonesia pada 26 – 29 Ogos tahun lalu.

Selain itu, TYT Rusdi Kirana juga telah menyelaras dengan jayanya beberapa lawatan penting seperti lawatan rasmi Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo ke Malaysia pada 8 – 9 Ogos 2019 dan lawatan rasmi Perdana Menteri ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke Indonesia pada 28 – 29 Jun 2018.

Semasa majlis menghadap, Al-Sultan Abdullah menzahirkan Indonesia adalah sahabat akrab dan jiran yang penting dan Malaysia amat gembira jalinan hubungan diplomatik kedua-dua negara sejak 63 tahun yang lalu dan kini sudah menjadi begitu istimewa, harmoni serta berada pada tahap tertinggi di semua peringkat.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah bahawa sebagai dua negara berjiran dan pengasas ASEAN, Malaysia akan terus komited untuk memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dengan Indonesia ke tahap yang lebih komprehensif.

Al-Sultan Abdullah turut berharap agar kerjasama yang sedia ada khususnya dalam hubungan ekonomi dua hala dapat diperkukuhkan dan usaha ke arah integrasi ekonomi ASEAN dapat dicapai selaras dengan penubuhan komuniti ASEAN.

Seri Paduka Baginda turut menyentuh isu-isu dua hala yang lain seperti kerjasama dalam menangani impak COVID-19, repatriasi rakyat kedua-dua negara, penubuhan Community Learning Center di Malaysia, pemeliharaan dan kebajikan nelayan kedua-dua negara serta kerjasama pelaburan dan perdagangan.

Al-Sultan Abdullah telah menyatakan kepentingan bagi kedua-dua negara untuk mempertingkatkan kerjasama dalam bidang pelaburan dan perdagangan supaya potensi penuh kedua-dua negara dalam sektor ekonomi dapat dicapai.

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

6 Julai 2020 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah…

Posted by Istana Negara on Sunday, 5 July 2020

Leave a Reply