ADUN Sungai Manik kekal sebagai Penasihat Khas MB Perak

0

ADUN Sungai Manik, Dato’ Zainol Fadzi Paharudin dikekalkan sebagai Penasihat Khas Menteri Besar susulan pelantikan Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak Darul Ridzuan yang-13 pada 13 Mac lalu.

Memetik kenyataan media, Dato’ Zainol Fadzi memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu kelancaran pentadbiran kerajaan negeri selama 20 bulan sebelum ini dan Menteri Besar memutuskan bahawa khidmat ADUN terbabit perlu dikekalkan bagi menasihati beliau dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri yang baharu dibentuk.

Dalam pada itu, beliau yakin dan percaya Dato’ Zainol Fadzi akan terus memainkan peranan yang berkesan dalam membantu jentera pentadbiran kerajaan negeri untuk menghadapi pelbagai cabaran sosial dan ekonomi akibat ancaman kesihatan awam susulan penularan pandemik COVID-19.

Pada hari ini, beliau telah mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang pertama di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang baharu di Bangunan SUK Perak.

Kelmarin, Dato’ Seri Ahmad Faizal mengumumkan perincian portfolio bagi YAB Menteri Besar dan tujuh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang akan menggalas cabaran menstabilkan ekonomi negeri Perak dalam tempoh dua tahun akan datang dan juga jangka masa panjang.

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply