Adik Achik Spin dan Afieq Shazwan padu suara menyanyikan semula lagu berhantu ‘Malam Semakin Dingin’

0

Pasti anda masih mengingati lagu ‘Malam Semakin Dingin’ nyanyian merdu Allahyarham Achik daripada kumpulan Spin yang cukup popular pada era 90an.

Mengubati kerinduan terhadap Allahyarham Achik Spin, penyanyi Tajul dan Afieq Shazwan berpadu suara menyanyikan semula lagu Malam Semakin Dingin.

Perkara itu dinyatakan dua penyanyi berbakat ini kepada The Malaya Post.

“Timbul banyak permintaan yang mahu saya nyanyikan semula lagu yang pernah didendangkan oleh Allahyarham Achik.

“Sejujurnya saya agak nervous juga bila FMC panggil untuk bincangkan tentang lagu ni. Tetapi bila Mr. Ho cakap akan diduetkan dengan Afieq, saya lega dan bersetuju “ kata Tajul ketika ditanya reaksinya untuk merakamkan semula lagu ciptaan Aiman dan Lukhman S itu.

“Cuma jangan bandingkan vokal saya dengan Achik. Walaupun kami adik beradik tentunya cara nyanyian dan kemampuan vokal kami berbeza. Apa pun saya memang sangat mengagumi vokal Achik”, kata Tajul lagi kepada The Malaya Post.

Manakala menurut Afieq pula, pada awalnya dia hanya menyanyikan (cover)  lagu ni dan berkongsi pada aplikasi tik tok dan Facebooknya.

“Alhamdulillah view memberangsangkan, Facebook sahaja mencecah setengah juta view.

“Banyak komen yang minta saya buat full version. Bila saya diberi peluang untuk duet lagu ni bersama Tajul terus saya cakap YES!,” katanya sambil menganggap ini adalah ‘tribute’ untuk Allahyarham Achik.

Berkongsi pengalaman, Afieq berkata proses rakaman di lakukan berulang kali dan secara berasingan.

Ini kerana setelah vokal siap dirakamkan dan didengarkan kembali, timbul idea untuk penambahbaikan dan ‘touch up’ bahagian yang dirasakan kurang.

Walaupun selalu menyanyikan lagu ini di karaoke, Tajul akui ianya mencabar kerana ‘range’ agak tinggi, namun dia bersyukur kerana dapat berduet dengan Afieq yang sangat membantu memudah dan mempercepatkan proses rakaman.

“Sewaktu rekod lagu ni, jujur saya cakap timbul rasa sebak dalam hati dan rindu kat Achik walaupun tidaklah terlalu rapat. Kami jarang berjumpa sebab Achik sibuk dengan kerjaya seninya.

“Saya bersyukur dan gembira kerana dapat nyanyikan semula lagu abang saya,” luah Tajul lagi.

Duet lagu Malam Semakin Dingin nyanyian Tajul dan Afieq Shazwan ini akan dilancarkan di youtube FMC Music mulai 15hb September 2021 jam 3 petang.

Manakala ia boleh didengar pada semua digital platform seperti joox, spotify dan sebagainya mulai jam 12 tengah malam ini 16hb September 2021.

Lagu yang diberikan nafas baru ini tentunya akan mengimbau kembali kenangan dan kerinduan peminat kepada Allahyarham Achik dan kumpulan Spin.

Diharapkan semoga pendengar dapat terima lagu Malam Semakin Dingin dalam nafas baru versi 2021 ni. Semoga terhibur.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply