“Adalah lebih baik saya tidak mahu bersubahat dengan hala tuju Dato’ Seri Zahid Hamidi” – Annuar Musa

0

Tan Sri Annuar Musa menerima keputusan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggugurkan beliau dari jawatan Setiausaha Agung BN dan diganti oleh Dato’ Seri Ahmad Maslan berkuat kuasa serta merta.

Menurut beliau, menggalas tugas sebagai SU Agung BN, ianya hanya boleh dilaksana dengan baik jika mempunyai perasaan saling meyakini dan mempercayai di antara Pengerusi.

“Walaupun sememangnya wujud suasana sedemikian sebelum ini, namun sejak kebelakangan ini, suasana tersebut telah berubah berikutan beberapa perkara, peristiwa dan dasar yang menuntut saya mempertahankan prinsip dan pendirian politik saya secara tegas dan berterus terang.

Memberi penjelasan lanjut, Tan Sri Annuar Musa turut menyatakan perkara-perkara yang melanggar prinsip dan pendirian politik beliau, antaranya :

i. Sokongan secara hitam putih kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional yang dianggotai BN.

ii. Percubaan dan perundingan yang melibatkan DAP dalam apa yang diistilahkan Pembentukan Jajaran Baru Politik.

iii. Percubaan menggugat kestabilan Kerajaan PN berkali-kali yang menyebabkan terjejasnya hubungan baik terutamanya antara UMNO, PAS dan BERSATU yang merupakan Parti Teras yang telah mewujudkan Perpaduan Melayu dan Islam di negara ini.

iv. Situasi ‘flip-flop’ pimpinan khususnya Pengerusi BN dalam perkara-perkara dasar berhubung Muafakat Nasional (MN) sehingga berlaku kesamaran dan kekaburan dalam halatuju MN.

v. Seruan demi seruan untuk dibubarkan parlimen dan mengadakan pilihanraya dalam situasi rakyat menderita akibat penularan pandemik Covid-19 dan tekanan ekonomi yang sangat berat.

vi. Kegagalan pimpinan mewujudkan keharmonian dan ketertiban dalam parti, dimana berterusan bertelagah secara terbuka telah menyebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap visi yang dibawa oleh parti.

vii. Keputusan-keputusan parti seperti ‘NO DAP’, ‘NO ANWAR’, sokongan ‘en-bloc’ kepada kerajaan PN dan lain-lain telah tidak dihormati.

Dengan perbezaan prinsip ini, beliau secara berterus terang menyatakan pendirian tidak mahu bersubahat dengan hala tuju Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Dengan tidak lagi menjadi SU Agung BN saya lebih bebas bertindak dan membuat pendirian politik mengikut hati nurani dan ‘conscience’ saya sendiri bersama rakan-rakan yang sealiran,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau tetap istiqamah berpegang kuat kepada segala keputusan parti serta prinsip asas penubuhan parti iaitu menyatupadukan orang Melayu dan Umat Islam serta berpendapat gabungan Muafakat Nasional (MN) bersama Perikatan Nasional (PN) sepatutnya diperkukuhkan.

“Namun apa yang telah berlaku telah mewujudkan keresahan dikalangan ahli dan menjejaskan reputasi parti serta telah diseret mengikut agenda peribadi.

“Perbezaan pendirian ini menuntut saya mengambil ketetapan untuk tidak bersekongkol dengan gerakan-gerakan yang tidak selari dengan keputusan rasmi MKT.

“Saya terima dengan penuh redha menerima pemecatan ini dan berserah kepada Allah SWT serta akan terus berjuang atas wadah perjuangan UMNO serta akan terus menyumbang ke arah UMNO yang bermaruah, berintegriti, kekal memimpin Penyatuan Ummah juga menunjangi permuafakatan nasional.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply