Adakah kita bosan melihat negara harmoni? – Tan Sri Bakri Zinin

0

Sejak kebelakangan ini, negara digemparkan dengan kejadian atau tindakan di luar kewarasan profesional dan tanggungjawab dari individu bergelar rakyat Malaysia hinggalah ke pemimpin berwajib.

Dalam sedar atau tidak ia telah mencalar kestabilan dan keharmonian negara yang telah dibina bersama selepas kemerdekaan.

Bagi Mantan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin, bibit-bibit kebencian dalam diam mula menampakkan kesannya.

Melalui perkongsian di laman Facebook miliknya, beliau menyatakan ungkapan ‘maafkan’ sudah menjadi perkara biasa.

Menurutnya, mengimbas kembali provokasi yang bermula dengan perbuatan tidak masuk akal iaitu ‘Bendera Songsang’, kini negara dikejutkan dengan penularan video yang memperlihatkan lagu ‘Negaraku’ dinyanyikan dalam bahasa Mandarin, sedangkan isu ‘Abu jasad’ masih belum reda dan dijadikan bahan mempersendakan kedaulatan undang-undang serta negara.

Beliau turut mengulas, sudah terbiasa dengan situasi apabila melakukan sesuatu kesilapan serta sedar ianya salah, ungkapan ‘maafkan kami’ dijadikan asas menghalalkan tata laku, dengan mudah kita terima serta memaafkan.

“Itu bangsa Malaysia kini “, tulisnya.

Beliau berkata, tidak perlu dipertikaikan kita adalah bangsa yang suka memaafkan, tiada rasa bersalah malah tertawa megah dan kerana apa pun, kita tidak akan mengambil tindakan walaupun bangsa tergadai.

“Adakah kini kita tidak mempunyai nilai perasaan berterima kasih kepada negara yang penuh bertoleransi ?

“Adakah kita bosan melihat negara harmoni. Anak bangsa dah hilang taring mentabir negara. Takut dengan bayang sendiri, bersikap biar siluncai terjun dengan labu-labunya.

“Kita yang melihatnya bercerita tentang enggang, sedangkan pipit mendada ketawa tiada yang berani menegur. Kita lihat Jebat berbicara kelak. Apa kata Hang Tuah”, luahnya kesal di atas beberapa isu gempar dan sensitif  yang menimbulkan kegusaran di kalangan rakyat skaligus menganggu gugat keamanan negara.

Leave a Reply