A+ untuk KPT dalam memerangi Covid-19 dan kelangsungan pendidikan tinggi negara

0
Senator Prof. Emeritus Tan Sri Dato` Seri Dr. Ibrahim Shah bin Abu Shah 

Rangkuman pencapaian KPT 2020

Pencapaian terbesar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tahun 2020 yang diterajui oleh Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad  berjaya mengekang Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta menjadi pusat wabak Covid-19 yang telah melanda negara dan dunia sejak awal tahun ini.

Tindakan bersepadu dan agresif KPT telah berjaya menghalang wabak ini menjangkiti 1.2 juta pelajar IPT iaitu 550 ribu pelajar universiti awam dan 650 ribu universiti serta kolej swasta  engan langkah-langkah strategik.

Perlu diingat langkah berani KPT bukan setakat  mengekang penularan wabak Covid-19 di kampus-kampus utama seluruh negara tetapi juga berjaya melaksanakan misi penghantaran pulang pelajar dalam negara dan luar negara melibatkan 56,565 pelajar membabitkan 1,860 buah bas, 137 penerbangan.

Malahan KPT melalui inisiatifnya telah memberi bantuan sekali bayar bernilai RM200 kepada 841,464 pelajar melibatkan perbelanjaan RM168.2 juta selain menyediakan makanan kepada pelajar yang terkandas di kampus utama bernilai RM52.2 juta.

Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Senator Profesor Emiritus Tan Sri  Dr. Ibrahim Shah Abu Shah memberitahu langkah-langkah strategik seperti penutupan kampus, penghantaran pulang pelajar secara sistematik dan penangguhan pendaftaran pelajar baru universiti membantu menghalang berlakunya malapetaka kepada sistem pengajian tinggi negara.

“Tindakan strategik KPT telah  menghalang kampus-kampus universiti menjadi kluster-kluster wabak Covid-19, sehingga kini tidak ada satu universiti yang telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ataupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),’’ katanya kepada The Malaya Pos mengulas mengenai pencapaian terbaik KPT pada tahun 2020.

Mengapa ini dapat dicapai tegas Tan Sri  Dr. Ibrahim Shah kerana keupayaan KPT  membuat tindakan-tindakan yang tepat dalam memastikan keselamatan pelajar dan pengurusan universiti.

Tapi pada masa yang sama tegasnya, aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) berjalan seperti biasa, malahan pelajar-pelajar IPT sedia ada terus meneruskan pelajaran serta mengambil peperiksaan dan pelajar baru terus dapat mendaftar.

“Pencapaian ini perlu dibanggakan oleh setiap lapisan masyarakat kerana kalau kita lihat, peningkatan pesakit Covid-19 ini semakin meningkat dan ia melibatkan banyak kilang dan tempat kerja kerana langkah-langkah strategik dan berani tidak diambil.

“KPT pula dengan langkah strategik dan berani telah  mengekang wabak ini menjangkiti pelajar-pelajar IPT,  jika wabak ini melanda kampus-kampus utama IPT tentunya akan mencetuskan kritikan hebat daripada orang ramai,’’ katanya.

Namun ketika KPT sibuk berperang dengan Covid-19 memastikan semua kampus universiti selamat dan bebas dari wabak terbabit, tahun 2020 menyaksikan Malaysia sekali lagi menempa kejayaan memberangsangkan dalam bidang pendidikan tinggi di peringkat antarabangsa.

Beberapa universiti telah menunjukkan peningkatan yang sangat positif dalam senarai kedudukan universiti yang telah dikeluarkan oleh QS World University Ranking (QS World) 2021 pada 10 Jun 2020.

Lima universiti tempatan melonjakan kedudukan dalam kelompok 200 universiti terbaik dunia dan tiga buah universiti swasta turut melonjak ke kelompok 500 universiti terbaik dunia.

Universiti Malaya (UM) melonjak 11 anak tangga dari kedudukan 70 kepada anak tangga 53, Universiti Putra Malaysia (UPM) dari kedudukan ke-159 ke kedudukan ke-132, Universiti Kebangsaan Malaysia dari tangga 160 kepada tangga 141.

Tiga universiti swasta  melonjak kelompok 500 iaitu Taylor’s University, UCSI University dan Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Politeknik dan Kolej Komuniti juga tidak ketinggalan dalam memahat kecemerlangan dalam penarafan antarabangsa dengan memperoleh pengiktirafan akreditasi daripada Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC).

Dalam konteks pendidikan tinggi peringkat global dan serantau, penarafan dan pengiktirafan oleh badan-badan antarabangsa ini amat signifikan bagi menunjukkan tahap standard, kualiti dan keberkesanan strategi yang diambil untuk melonjakkan tahap sesebuah IPT.

Usaha berterusan KPT dalam menempatkan IPT di Malaysia di gelanggang persaingan global dilihat terus membuahkan hasil yang positif sehingga kini dengan menunjukkan peningkatan dalam dua (2) platform penarafan utama global bagi universiti dan institusi TVET, iaitu QS World dan APACC.

Pada 25 November pula Malaysia terus mencatatkan kejayaan membanggakan apabila Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings : Asia 2021 telah meletakkan 10 universiti tempatan di mana tujuh adalah universiti awam dan tiga universiti swasta antara 110 universiti terbaik di Asia.

Berdasarkan kepada laporan tersebut UM merupakan yang terbaik di Malaysia dengan berada di kedudukan kesembilan, diikuti oleh Universiti Putra Malaysia (28), Universiti Sains Malaysia (34), Universiti Kebangsaan Malaysia (35), Universiti Teknologi Malaysia (39). Universiti Utara Malaysia (107) dan Universiti Teknologi Mara (108.

Sementara tiga universiti swasta ialah Universiti Teknologi Petronas (70), Universiti Taylor (89) dan Universiti UCSI (105).

Datuk Seri Dr. Noraini ketika ditemubual The Malaya Post menegaskan ia merupakan pencapai terbaik negara dan membuktikan bahawa hala tuju negara dalam pengajian tinggi berada di dalam landasan yang betul.

“Tahun ini juga UM merupakan universiti yang berjaya meletakkan dirinya di kedudukan 10 terbaik di Asia,” katanya kepada The Malaya Post.

Sementara Universiti Teknologi Mara (UiTM) terus mengharumkan negara di mata dunia apabila menduduki tempat ke-108  meningkat sebanyak 11 tangga berbanding kedudukan 119 dalam QS Asia University Ranking 2021 kata Naib Canselornya, Prof. Emiritus Datuk Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim.

Secara  keseluruhan  UiTM meningkat sebanyak 73 tangga berbanding kedudukannya pada tahun 2017 iaitu pada kedudukan 187.

“Prestasi tahun ini juga telah menempatkan UiTM pada kedudukan 17 peratus terbaik Asia dengan pertambahan sebanyak 93 universiti yang dinilai di seluruh Asia serta pertambahan sebanyak enam universiti dari Malaysia,” katanya dalam satu kenyataannya.

Menurut beliau, QS Asia University Ranking menilai universiti berdasarkan 11 petunjuk utama yang antaranya adalah reputasi akademik, reputasi majikan, sitasi penerbitan, nisbah pelajar kepada staf akademik, dan jaringan penyelidikan antarabangsa.

KPT yang diterajui oleh Datuk Seri Dr. Noraini tidak berhenti di situ sahaja tetapi terus merancang tawaran baharu untuk ditawarkan kepada kumpulan sasar berdasarkan  kepada arahan Kabinet.

Mesyuarat Kabinet  pada 15 April 2020 telah mengarahkan setiap kementerian untuk mengenal pasti dan merancang pendekatan baharu yang boleh ditawarkan kepada kumpulan sasar yang telah dipertanggungjawabkan kepada kementerian masing-masing. KPT telah menyediakan 17 Tawaran Baharu.

Inisiatif Tawaran Baharu KPT yang dicadangkan berdasarkan kriteria impak kepada rakyat, ketersediaan peruntukan, tidak melibatkan proses pindaan akta yang memakan masa, mengambil kira kepentingan kesemua pemegang taruh serta memberikan nilai terbaik untuk perbelanjaan.

* Memperluas penyediaan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) sebanyak RM1,500 kepada pelajar B40 di IPTS (yang memohon) bagi peringkat pengajian diploma

* Menyediakan insentif Simpanan Bertakaful kepada pelajar B40 bagi program pengajian tahap diploma di IPTS

* Memperluas Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti (BKPKK) sebanyak RM300 kepada pelajar B40

* Mengurangkan bayaran pelbagai sebanyak 50% bagi pelajar baharu dan semasa politeknik dan kolej komuniti untuk sesi pengajian Jun 2020

* Mengurangkan fi penilaian sebanyak 50% bagi permohonan Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) (A) peringkat sijil dan diploma

* Mewujudkan Pasukan Petugas Kebangsaan Pemudah cara IPTS Sebagai Industri (PEMUDAH IPTS) bagi menangani isu-isu IPTS

*  Menyediakan Portal Graduates Reference Hub for Employment and Training (GREaT)

*  Menyediakan biasiswa dan program latihan kepada graduan untuk reskilling and upskilling (myskillKPT) melalui Skim Melanjutkan Pengajian (KPT–MyBrain15, Yayasan TNB), Biasiswa YB Menteri – Pelajar Cemerlang Politeknik (PCP) dan Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran di bawah Human Resource Development Fund (HRDF)

* Mempermudah akses peluang pekerjaan kepada graduan IPT melalui kerjasama strategik dengan agensi berkaitan bagi penggunaan Portal EISJob dengan kerjasama Perkeso dan JobMatchingPTPTN dengan kerjasama PTPTN

* Memperbanyak peluang pendidikan kemahiran dan teknikal kepada pelajar tahfiz dan sekolah pondok

* Memperkukuh Program Pembangunan Keusahawanan Graduan Berfokus Agro-techno-prenuer: Contract Farming, Entrepreneur Incubator, Siswapreneur Business Ethics and Compliance (SBEC), Siswa@e-mall, Professional Certificate for Entrepreneurship Educators & Certified Trainers (PROCEED) dan Creativeprenuer

* Menyediakan Khidmat Sokongan Pekerjaan Secara Percuma seperti Program #kisahsiswa Career Coaching Circle – Talent Employability, Program Bimbingan Penyediaan e-Portfolio dan Konsultasi khusus kepada pengguna Portal EISJob yang belum mendapat pekerjaan dalam masa dua (2) tahun

* Membangunkan usahawan dalam kalangan pelajar TVET menerusi Program Learn and Earn @PCEIC (PolyCC Entrepreneurship Incubator Classroom)

* Memperkenalkan Pendidikan Fleksibel dan Pendigitalan Pendidikan melalui konsep yang berlangsung tanpa sempadan seperti Uberniversity, Competency Based Education (CBE), Micro-Credential dan Credit Transfer Massive Open Online Courses (CTM), Pentaksiran Holistik serta Pelaksanaan Blended Learning dan Open and Distance Learning (ODL)

* Meningkatkan kos maksimum projek bagi geran padanan IPT dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dalam penyelidikan industri daripada RM50,000 sehingga RM350,000

* Memperbanyak peluang penyertaan pengurusan dan tenaga pengajar IPTS dalam Program Pembangunan Kapasiti yang dianjurkan oleh Institut Latihan Awam (ILA)

* Meningkatkan Penglibatan Penyelidik Luar Universiti Ternama Melalui Program MyPAiR

KPT seharusnya diberikan markah penuh dalam usahanya memerangi zaman wabak Covid-19, dalam usaha mengekang  dan mengelakkan pelajar-pelajar IPT menjadi mangsa wabak berkenaan, kementerian telah bertindak cemerlang memastikan keselamatan pelajar walaupun ini kali pertama kementerian berhadapan dengan situasi yang sukar ini.

Bagaimana KPT bertindak balas terhadap ancaman ini membuahkan hasil yang membanggakan, mungkin ada kekurangan tetapi ia tidak menjejaskan prestasi kementerian dalam memerangi wabak Covid-19.

Namun dalam waktu yang sama, KPT terus melangkah ke hadapan untuk meletakkan hala tuju pendidikan tinggi negara pada landasan yang betul dan ini terbukti dengan pencapai universiti awam dan swasta dalam QS World dan QS Asia. –THE MALAYA POST

Hata Wahari / Penulis

Penulis adalah bekas Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia dan wartawan Utusan Malaysia.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply